X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki dicekup jadikan rumah transit barang seludup

Anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu menyerbu sebuah rumah di Kampung Tepi Sungai, Rantau Panjang yang dijadikan sebagai transit barangan seludup pada Ahad.
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan seorang lelaki yang menjadikan rumahnya sebagai transit barang seludup membawa padah apabila dia dicekup oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu dalam serbuan di Kampung Tepi Sungai di sini pada Ahad.

Lelaki itu ditahan pada jam 1 pagi ketika sedang memunggah barangan seludup dari tebing Sungai Golok ke dalam rumahnya.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, serbuan dilakukan hasil rondaan rutin dan pemantauan yang dilakukan oleh anggota PGA di kawasan tersebut.

"Semasa rondaan dijalankan anggota PGA melihat seorang lelaki sedang memunggah beberapa guni dan bungkusan toto dari tebing Sungai Golok ke dalam sebuah rumah," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, sejurus menghampiri kawasan serbuan anggota PGA telah menunjukkan kad kuasa dan menahan lelaki itu untuk pemeriksaan lanjut.

Nor Azizan berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah membawa kepada penemuan guni-guni mengandungi pakaian jubah wanita.

Beliau berkata, selain itu toto dan bantal kekabu turut ditemui dalam serbuan tersebut.

"Pemeriksaan itu dilakukan sambil disaksikan oleh suspek," katanya.

Nor Azizan berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM32,530.

Katanya, kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDRM) Kelantan untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai lokasi transit sebelum diangkut menggunakan kenderaan ke pasar-pasar berdekatan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!