Dua lelaki dicekup bersama dadah

Dua lelaki berusia 29 dan 39 tahun dicekup bersama dadah selepas pacuan empat roda jenis Pajero dinaiki mereka ditahan di Kampung Pahi, di sini pada 17 Mei lalu. - Gambar hiasan
Dua lelaki berusia 29 dan 39 tahun dicekup bersama dadah selepas pacuan empat roda jenis Pajero dinaiki mereka ditahan di Kampung Pahi, di sini pada 17 Mei lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KRAI - Dua lelaki berusia 29 dan 39 tahun dicekup bersama dadah selepas pacuan empat roda jenis Pajero dinaiki mereka ditahan di Kampung Pahi, di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek selepas menerima hebahan maklumat mengenai kecurian sebuah pacuan empat roda yang dilaporkan hilang di kawasan Melor, Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Suzaimi Mohamed berkata, hasil kecekapan dan tindakan pantas anggota Unit MPV telah berjaya mengesan dan merampas kenderaan terbabit dalam tempoh kurang satu jam daripada hebahan diterima.

"Hasil pemeriksaan lanjut kami telah menjumpai 85 biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis methaphetamine, pil epam (12 biji) dan pil berwarna kuning bertulis YI (2 biji).

"Kesemua dadah tersebut dijumpai di dalam beg pinggang warna biru yang dipakai salah seorang suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek pertama berusia 29 tahun mempunyai 10 rekod lampau manakala yang berusia 39 tahun empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Ujarnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Suzaimi memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kami berharap orang ramai dapat meletakkan kepercayaan dan yakin dengan tindakan pihak polis dalam memerangi kes-kes jenayah," ujarnya.