‘Mama, jangan garang sangat’

Emosi anak perlu dijaga terutama dalam memotivasikan diri mereka dalam menjalani PdPR. - Foto 123RF
Emosi anak perlu dijaga terutama dalam memotivasikan diri mereka dalam menjalani PdPR. - Foto 123RF
A
A
A

SITUASI di sebuah rumah.. ‘Salah ni... baca la arahan betul-betul.. kena warnakan jawapan... mana pensel warna?” tanya si mama.

“Hilang la mama,” jawab si anak. Apa lagi, riuh rendah rumah dengan jeritan si mama.

Situasi di rumah sebelah pula: “Huruf kecil ‘d᾿ ni tarik la bagi panjang sikit, dah jadi macam huruf ‘a᾿. Hang tulis cantik-cantik, ibu ‘katok᾿ tangan hang nanti,” garang sekali kedengaran suara si ibu.

“Ibu ni kan, kalau kat sekolah ada salah, cikgu cakap baik-baik ja siap tunjuk cara yang betul, tak dak la cikgu nak ‘katok᾿ tangan,” jawab si anak pula.

Ini antara situasi yang berlaku bermula 20 Januari lalu gara-gara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat Covid-19.

Sejak PdPR dilaksanakan, ibu bapa jadi tidak keruan - memikirkan mengenai kaedah PdPR, peranti atau gajet yang diperlukan dan banyak lagi perkara tentunya menghimpit fikiran ibu bapa.

Ibu bapa yang bekerja pula mempunyai kekangan tersendiri terutama masa PdPR yang berlangsung pada waktu bekerja.

Jadi, pembahagian masa dan pengurusan stres yang betul amat diperlukan oleh ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Memang ibu bapa berdepan dengan tekanan, namun PdPR ini antara kaedah yang terbaik dilakukan Kementerian Pendidikan untuk anak-anak agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Ibu bapa perlu optimis dengan pelaksanaan PdPR dan tidak perlu risau, sudah semestinya pihak sekolah juga telah sedaya upaya menjadikan kaedah itu sesuatu yang memudahkan bagi urusan ibu bapa dan murid.

Seperti kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian bertajuk ‘PdPR: Ibu Bapa Pening Kepala, Anak-Anak Jadi Mangsa?’ pada 28 Januari lalu, para guru sentiasa bersedia memberi sokongan kepada ibu bapa.

“Kita perlu sedar bahawa kita tidak akan selamanya berada dalam PdPR. Apabila Covid-19 sudah reda, percayalah sekolah akan dibuka semula dan pada masa itu sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan,” kata Aminuddin.

Sebenarnya pendekatan PdPR yang dilaksanakan ini memerlukan sokongan semua pihak. Ya betul, impak PdPR tidak sama dengan pembelajaran bersemuka, namun ibu bapa perlu positif bahawa pelaksanaan PdPR bertambah baik berikutan pengalaman guru-guru pada tahun lepas.

Jadi, beri ruang kepada guru untuk melancarkan proses PdPR ini. Pada permulaan PdPR dilaksanakan pada bulan lalu, isu gajet dan internet hangat diperkatakan. Namun pelaksanaan PdPR tidak hanya terbatas kepada pembelajaran dalam talian semata-mata.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim pada 22 Januari lalu, PdPR melibatkan kaedah pembelajaran yang tidak terbatas kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

“PdPR turut melibatkan penggunaan kaedah offline, TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.

“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan PdPR bermaksud pembelajaran dalam talian semata-mata,” kata Habibah.

Sebenarnya untuk PdPR kali ini nampaknya kebanyakan sekolah telah mengambil pelbagai inisiatif terbaik susulan pengalaman mereka pada tahun lepas.

Oleh yang demikian, dalam situasi sekarang, mahu atau tidak ibu bapa kena memainkan peranan dan tanggungjawab dalam menjayakan sesi PdPR ini selain guru dan murid.

Kerjasama ibu bapa untuk memantau dan membantu anak-anak khususnya yang berada di peringkat awal persekolahan seperti tadika serta Tahun Satu amat penting.

Namun jangan la ‘cengey᾿ (garang) sangat dengan anak-anak ketika memantau tugasan sekolah anak-anak. Emosi anak pun kena jaga terutama dalam memotivasikan diri mereka dalam menjalani PdPR.

Pengajaran di sekolah tidak sama dengan di rumah. Ambil pendekatan yang positif dan berusaha memberi yang terbaik demi pelajaran dan masa depan anak-anak.

* Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian