Guru perlu memiliki jiwa pendidik

Guru perlu mendidik pelajarnya supaya jiwa mereka terkesan dengan ilmu yang dipelajari. Sumber foto: GPS Bestari
A
A

SEKOLAH berperanan sebagai penjana modal insan yang mempunyai kepakaran, berkualiti, peribadi unggul, inovatif, kritis dan kreatif bagi menjamin pembangunan sosioekonomi sesebuah negara.

Oleh yang demikian, tanggungjawab dan amanah ini bergantung pada warga guru yang merupakan golongan penting menjelmakan hasrat tersebut. Lahirnya cendekiawan yang memajukan peradaban dan tamadun manusia adalah hasil didikan dan tunjuk ajar daripada mereka yang bergelar guru.

Profesyen perguruan bukan sahaja mengajar ilmu akademik, malah ia melangkaui dimensi-dimensi lain bagi melahirkan dan memperkembangkan potensi individu yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Pembangunan modal insan seharusnya bermula di peringkat akar umbi lagi. Justeru, tidak dapat dinafikan golongan guru memegang amanah besar bagi melahirkan pemimpin masa depan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, keluhuran adab sopan, kemantapan integriti, dan sahsiah diri yang unggul. Oleh yang demikian, karisma seorang guru dituntut untuk memberi impak besar kepada pembangunan modal insan yang seimbang.

Kelunturan akhlak remaja pada masa kini perlu mendapat perhatian serius oleh semua pihak. Sekolah tidak harus dijadikan medan menjuarai kecemerlangan akademik semata-mata, malah ia perlu berperanan dengan lebih berkesan sebagai agen menyemai nilai-nilai murni ke arah pembentukan sahsiah diri yang teguh. Mendepani cabaran tersebut, amat tepat mereka yang bergelar guru atau bakal guru mempunyai jiwa sebagai pendidik.

Guru yang berjiwa pendidik seharusnya kompeten dalam aspek pedagogi, sosial, profesional, dan peribadi. Guru-guru yang kompeten dalam semua aspek tersebut akan mendidik dengan pelbagai strategi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), memberi tunjuk ajar dengan sentuhan kasih sayang, bertindak dengan penuh tanggungjawab, dan menjadi suri teladan semata-mata menjadikan pelajarnya insan yang unggul.

Setiap guru perlu menguasai kemahiran mengajar dalam proses mendidik. Kepelbagaian strategi, kaedah, dan teknik pengajaran membantu guru mengajar dengan lebih berkesan kerana setiap kemahiran, ilmu, kehendak sesuatu subjek dan pelajar memerlukan aplikasi pendekatan mengajar yang berbeza.

Mendidik dengan sentuhan kasih sayang meliputi kesantunan, perhatian, memuliakan, menghargai, dan menghormati. Sikap sedemikian menjadikan pelajar lebih bermotivasi, menenteramkan jiwa, dan memberikan inspirasi kepada mereka. Amanah dan tanggungjawab memerlukan kejujuran, memegang teguh kepercayaan dan integriti yang tinggi daripada guru.

Ini akan menjadikan proses pendidikan lebih bermakna. Guru perlu menjadi suri teladan yang terbaik bukan sahaja kepada pelajarnya malah dalam kalangan masyarakat sekeliling agar guru terus dipandang mulia. Guru yang berketerampilan, penyabar, emosi yang seimbang, dan mempunyai sistem nilai yang tinggi akan membentuk manusia yang berkeperibadian tinggi selain dijadikan ikutan oleh pelajarnya.

Guru berjiwa pendidik ialah guru yang mempunyai fahaman yang jelas tentang matlamat sebenar pendidikan yang pada asasnya untuk mengubah tingkah laku manusia. Perubahan tingkah laku yang bermakna perlu menyentuh hati dan akal fikiran pelajar. Oleh yang demikian, guru perlu mendidik pelajarnya supaya jiwa mereka terkesan dengan ilmu yang dipelajari dan menjadikan sebagai satu amalan dalam kehidupan mereka. Ilmu tanpa amal tidak mampu memberi apa-apa kesan dalam kehidupan seseorang.

Sehubungan itu, kepentingan melahirkan guru yang mempunyai jiwa pendidik perlu mendapat perhatian khusus. Jatuh bangun sesebuah tamadun dan peradaban adalah bergantung kepada kecemerlangan sistem pendidikan. Kerjaya guru adalah sangat mulia.

Justeru, setiap guru perlu kompeten, tinggi akal budi, komitmen yang tinggi, minat, kejujuran, dan keikhlasan untuk mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang ideal.

* Penulis dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.