Sambutan Tahun Baharu Cina berlangsung sederhana

Sambutan Tahun Baharu Cina disambut sederhana di Pusat Rumah Orang Tua Weng Da, Jempol pada Ahad.
Sambutan Tahun Baharu Cina disambut sederhana di Pusat Rumah Orang Tua Weng Da, Jempol pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Rumah Orang Tua Weng Da di sini berlangsung secara sederhana apabila 40 penghuninya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Pengurus pusat tersebut, Liew Hong Chen, 45, berkata, sungguh pun begitu, sambutannya bagi meraikan penghuni di situ berlangsung meriah.

"Tahun ini sambutan Tahun Baharu Cina sangat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kami terpaksa mengehadkan kehadiran pelawat termasuk saudara-mara penghuni di sini.

"Cukup dengan panggilan telefon atau kiriman barangan, namun sudah memadai kerana kami tidak mahu penghuni di sini menanggung risiko disebabkan penghuni sudah berumur selain ada yang merupakan orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di pusat tersebut pada Ahad.

Terdahulu pusat tersebut menerima sumbangan makanan 'pun choy' dan angpau daripada Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) bahagian Rasah bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Hadir sama, Ketua CRSM MCA Bahagian Rasah, Dafney Ho dan Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam.

Sementara itu, Hong Chen berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan banyak syarikat yang sebelum ini selalu memberikan sumbangan kepada pusat jagaan berkenaan sudah tidak lagi menyumbang.

"Mereka juga menghadapi masalah dengan perniagaan. Saya anggarkan hampir 80 peratus sumbangan yang kami terima berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Separuh daripada penghuni di sini sudah tidak mempunyai keluarga lagi, manakala selebihnya pula keluarga mereka juga terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan. Jadi memang kami mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk meneruskan kelangsungan pusat jagaan ini," katanya.

Sementara itu, Defney yang juga Ketua Penerangan MCA Bahagian Rasah berkata, beliau

gembira melihat penghuni di situ ceria walaupun terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina dalam norma baharu.

"Walaupun sambutan perayaan tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini, kita masih boleh meraikannya dengan sederhana mengikut SOP.

"Tahun ini merupakan tahun ke-16 kami menjalankan program sempena Tahun Baharu Cina bagi meraikan penghuni di pusat penjagaan orang tua, rumah anak yatim dan fakir miskin," katanya.