'Rider berlapar demi tugas'

Penganjur mengagihkan bungkusan makanan kepada penghantar makanan dan barangan di pekaramgan Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas
Penganjur mengagihkan bungkusan makanan kepada penghantar makanan dan barangan di pekaramgan Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pemilik restoran, bengkel kenderaan dan kedai komputer bekerjasama membantu pekerja penghantar makanan serta barangan di sekitar Jalan Gombak, di sini dengan menyediakan makanan kepada mereka.

Penganjur program Makanan Percuma Bagi Semua Rider Makanan dan Barangan itu Seema Salam berkata, sebanyak 500 bungkusan makanan diagihkan untuk kumpulan pekerja berkenaan yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas bermula sekitar jam 2 petang secara pandu lalu.

“Kami memilih kumpulan penghantar makanan dan barang sebagai menghargai penat lelah serta sumbangan mereka dalam melaksanakan tugas memastikan pesanan pelanggan sampai tepat pada masanya.

“Sebagai pengusaha restoran, saya selalu melihat pekerja penghantar makanan tidak sempat untuk membuat pesanan makanan untuk diri sendiri. Mereka berlapar untuk menyelesaikan tugas dan sebab itulah kami merasakan mereka perlu dihargai,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, program sumbangan makanan kepada penghantar makanan dan barangan di sekitar Kuala Lumpur itu adalah kali ketiga diadakan bagi menghargai khidmat golongan itu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja seperti Yun Garage Gombak, PC Boy dot com, AirconPro, Paksu Chicken Chop, MyAyam Ketuk KLTS, Mr Yu Fresh Mart dan Hawana Cafe.

“Tidak lupa juga kepada pihak Masjid Jamek Saad Abi Waqqas kerana sudi menyediakan lokasi bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan mengikut standard prosedur operasi (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Imam Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas, Mior Ahmad Fitri Mior Shahridan berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat ikut serta dalam program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia program yang baik untuk menghargai penghantar makanan dan barangan ini kerana mereka juga boleh dikategorikan sebarang barisan hadapan negara.

“Saya berpendapat masjid tidak hanya menjadi tempat beribadah semata-mata sebaliknya berfungsi melaksanakan tugas-tugas kebajikan,” katanya.