[EKSKLUSIF] Subjek Geografi perlu diubah ke bentuk baharu

Subjek Geografi dalam peperiksaan SPM perlu ditransformasikan ke dalam bentuk baharu. Gambar kecil: Nawi Ismail
Subjek Geografi dalam peperiksaan SPM perlu ditransformasikan ke dalam bentuk baharu. Gambar kecil: Nawi Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Subjek Geografi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mampu membantu dalam kehidupan terutama untuk mendapatkan pekerjaan perlu ditransformasikan ke dalam bentuk baharu.

Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail berkata, mata pelajaran Geografi tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja kerana ia mempunyai kepentingan sendiri.

"Biarpun ada yang mendakwa subjek Geografi seolah-olah tidak seiring dengan peredaran masa tetapi ada antara sukatannya yang masih penting untuk diketahui pelajar seperti perubahan iklim.

"Sukatan pelajarannya juga perlu dikemas kini dan ditambah baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berikutan itu, Nawi berkata, seiring dengan cadangan kajian semula terhadap sistem peperiksaan SPM yang dikemukakan Bekas Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Khodori Ahmad, perbincangan tentang transformasi subjek Geografi juga perlu dilakukan.

Jelasnya, situasi yang berlaku ketika ini amat menyedihkan apabila ada sekolah tidak mengambil subjek Geografi dan Kesusasteraan Melayu mungkin disebabkan kedua-dua subjek itu dianggap tidak memberi kepentingan kepada pelajar.

"Selari dengan transformasi SPM, subjek Geografi mungkin boleh digabungkan atau diselit dengan subjek lain yang berkaitan, contohnya digabung dengan Sains.

"Ia juga ke arah perubahan jumlah subjek dalam SPM sendiri kerana kita tidak mahu pelajar dibebankan dengan subjek yang terlalu banyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, pendekatan sama juga perlu dibuat bagi subjek Kesusasteraan Melayu kerana ia boleh mendidik pelajar tentang nilai-nilai murni dan kekayaan serta kesantunan bahasa Melayu.

Tegas beliau, langkah mewujudkan dua aliran iaitu Sains dan Sastera ketika di Tingkatan Empat menyebabkan ilmu sastera semakin dipinggirkan.

Katanya, situasi sama tidak berlaku di negara-negara maju kerana pelajar tetap mempelajari kedua-dua bidang ilmu itu kerana ia diperlukan pelajar untuk membentuk jati diri mereka.

"Bila diasingkan aliran Sains dan Sastera, seperti yang berlaku sekarang ini wujud stigma aliran Sains untuk pelajar pandai dan Sastera pula untuk budak lemah.

"Lebih menyedihkan sekarang ini kita dapat lihat lambakan novel-novel di pasaran yang tidak laku sebab kita tidak asuh mereka untuk sukakan sastera," jelasnya.

Nawi menjelaskan, ilmu kesusasteraan perlu dipelajari semua orang kerana pelajar aliran Sains juga memerlukan ilmu itu dalam penghasilan laporan kajian atau jika mereka mahu mengeluarkan karya berkaitan bidang mereka jika melanjutkan pengajian atau selepas bekerja nanti.

Sehubungan itu, dalam membuat penilaian semula terhadap subjek SPM, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa dibentuk yang turut disertai guru pakar seperti guru Geografi berpengalaman.

"Paling penting, jawatankuasa itu perlu melibatkan mereka yang benar-benar berpengalaman kerana pengalaman yang dimiliki boleh memberi panduan kepada kerajaan untuk melakukan transformasi," katanya.