Suntikan vaksin bawa sinar baharu

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memerangi ancaman krisis pandemik Covid-19 yang semakin parah di Malaysia.

Trend krisis pandemik Covid-19 tempatan di bawah pengaruh gelombang ketiga cukup membimbangkan dengan kadar kes positif dan kematian mangsa, menyebabkan pihak kerajaan digesa agar melaksanakan program imunisasi itu secepat mungkin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan tiga fasa dijangka diimplementasikan pada hujung Februari ini.

Jelas Muhyiddin lagi, sebanyak 80 peratus daripada seluruh populasi rakyat negara ini atau 26.5 juta individu bakal menerima suntikan vaksin tersebut secara percuma.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan turut melakar sejarah sebagai pelan vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan dalam bidang perubatan dan kesihatan Malaysia.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai, sebelum pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan diadakan secara rasmi, pihak pengurusan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah telah berjaya menjalankan proses vaksinasi kepada kumpulan pertama sukarelawan negara.

Seramai 62 orang sukarelawan daripada kumpulan pertama itu telah menerima suntikan mereka secara percuma untuk membantu kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19.

Menurut Makkal Osai, pada dasarnya pihak KKM memerlukan seramai 3,000 orang sukarelawan bagi kajian klinikal fasa ketiga tersebut dan kesemua mereka disuntik vaksin yang diimport dari negara China.

Artikel Berkaitan:

Langkah menyuntik vaksin dari China kepada 62 orang sukarelawan berkenaan sudah pasti telah membuka peluang emas kepada negara dalam usaha menangani krisis pandemik Covid-19.

Respons positif mahupun negatif yang bakal diterima daripada sukarelawan itu akan menentukan keberkesanan vaksin keluaran dari China itu.

Oleh sebab suntikan vaksin merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi membendung dan mencegah penularan wabak Covid-19, jadi pihak kerajaan terpaksa akur dengan langkah KKM untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperuntukkan berbilion ringgit untuk mengimport vaksin-vaksin yang sesuai dari China dan Belgium demi kesejahteraan serta kesihatan rakyat.

Dalam pada itu, Makkal Osai turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan yang berani tampil untuk mengambil suntikan vaksin bagi membantu pihak KKM dan rakyat jelata.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diharap dapat membawa sinar baharu kepada kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor