X

Kindly register in order to view this article
!

Dua kontena produk sejuk beku dirampas

Pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang produk daging sejuk beku di Taman Perindustrian Puchong, Selangor pada Jumaat.
A
A

PUCHONG - Pelbagai produk sejuk beku yang dipercayai tidak sah dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Puchong, di sini pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Difahamkan, dianggarkan jumlah rampasan produk sejuk beku itu dimuatkan di dalam dua buah kontena dengan nilai ratusan ribu ringgit.

Kesemua barangan antaranya daging serta organ dalaman seperti paru dibawa ke tempat simpanan Maqis di Pelabuhan Klang, Klang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah menahan 10 pekerja gudang dipercayai warga Myanmar.

"Pekerja ini diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah.

"Selain itu, tindakan turut diambil terhadap seorang warga tempatan dan warga Hong Kong yang disyaki menggaji pekerja asing yang tidak memiliki pas di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63," katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, semua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Sumber Maqis menjelaskan, kes itu disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Maqis akan menyiasat sama ada gudang terbabit mempunyai kaitan dengan kartel daging sejuk beku di Senai, Johor yang diserbu pada Disember tahun lalu," katanya.

Terdahulu pada 2 Disember tahun lalu, Sinar Harian dalam laporan eksklusif melaporkan sepasukan pihak berkuasa bertindak menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai itu berjaya merampas kira-kira 1,500 tan pelbagai jenis daging sejuk beku antaranya lembu, kerbau, itik, ayam selain organ dalaman seperti paru, perut serta ekor dianggarkan bernilai RM30 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!