Padah bersauh tanpa kebenaran

Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki asing yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 2.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat, Kota Tinggi pada Jumaat.
Maritim Malaysia menahan sebuah kapal tangki asing yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 2.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat, Kota Tinggi pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki asing yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 2.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat di sini pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kapal tangki tersebut ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada jam 1.16 petang.

"Pihak maritim menahannya berdasarkan laporan aktiviti tanpa pematuhan daripada Lembaga Pelabuhan Johor. Kapal berdaftar di Basseterre itu dikendalikan tujuh kru warga Indonesia termasuk nakhoda berusia antara 25 hingga 55 tahun.

"Pemeriksaan mendapati mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen permakluman ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad Sulhan berkata, kapal itu ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 449 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika bersalah boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan boleh dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953.

"Selain itu mereka juga boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali serta mana-mana kesalahan lain di bawah mana-mana Akta Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sulhan menegaskan, Maritim Malaysia terus komited melaksanakan tugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dan sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan memohon kebenaran Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan ditetapkan dalam melaksanakan sebarang aktiviti di perairan bagi mengelakkan sebarang tindakan lebih tegas diambil.