Koperal antara tiga maut kemalangan di Tuaran

Perodua Kancil yang dinaiki Koperal Shamsully Adly dirempuh trak ATM dalam kemalangan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran.
Perodua Kancil yang dinaiki Koperal Shamsully Adly dirempuh trak ATM dalam kemalangan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Anggota polis berpangkat koperal antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian itu, Koperal Shamsully Adly difahamkan baru selesai menjalankan tugas di Balai Polis Kota Belud dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di perumahan Bolong dengan memandu Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan maut itu pada jam 8.01 pagi.

"Siasatan awal mendapati, sebuah trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipandu anggota ATM berusia 24 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Tamparuli menuju ke Tenghilan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun bersama pembonceng lelaki berusia 35 tahun tiba-tiba keluar dari arah simpang Jalan Marabahai Spur iaitu di hadapan sebelah kiri trak ATM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Hamizi berkata, akibat kejadian itu pemandu trak ATM tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal terbabit sehingga terseret ke lorong laluan arah bertentangan.

"Penunggang bersama pembonceng motosikal turut terseret ke lorong laluan susur sehingga mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Penunggang dan pembonceng motosikal antara yang maut dalam kemalangan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran.
Penunggang dan pembonceng motosikal antara yang maut dalam kemalangan di simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis-Tenghilan, Tuaran.

"Pada masa yang sama, trak ATM terbabit telah bertembung dengan sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah Tenghilan berada di susur jalan bertentangan sehingga mengheret kenderaan itu hingga ke atas pembahagi jalan.

"Pemandu lelaki berusia 45 tahun terperangkap di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga mangsa termasuk dua lelaki menaiki motosikal dikenali sebagai Jul Amri Shamsudin, 25, dan sepupunya, IL Yasa Samsudin, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut dalam kemalangan di Tuaran