Isu kuil: Tidak perlu perintah berkurung

Muhyiddin Yassin
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keadaan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, USJ 25, Putra Heights, Selangor masih terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan perintah berkurung bagi menangani insiden pergaduhan di kawasan itu.

"Tidak sampai ke tahap itu (mengeluarkan perintah berkurung). Ini pandangan saya,” katanya mengulas pandangan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa perintah berkurung harus diisytiharkan Ketua Polis Negeri untuk mengelakkan insiden yang sudah berlarutan dua malam, sejak Isnin lalu.

Musa dilaporkan berkata perintah berkurung akan dapat memastikan ketenteraman awam kembali wujud di kawasan itu kerana langkah berkenaan dilihatnya berkesan.

Muhyiddin dalam sidang media berhubung insiden pergaduhan di kuil berkenaan di kementeriannya di sini hari ini berkata 1,400 Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik digerakkan untuk mengawal keadaan di kawasan berkenaan.

"Bagi saya, setakat ini, kita masih kawal lagi.

Kalau kita nak buat perintah berkurung, pelbagai perkara kita perlu ambil kira, termasuk (jika ada perintah berkurung) rakyat tidak rasa bebas (bergerak), tidak boleh keluar malam, selain itu perniagaan juga terjejas... Banyak implikasi bukan sahaja soal keselamatan,” katanya. -Bernama

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia