Pemuda Pas gesa KDN haramkan buku Tommy Thomas

Nazir Helmi
Nazir Helmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menarik balik penerbitan cetakan buku Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice In Wilderness’ serta mengharamkannya daripada disebarkan.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, tindakan undang-undang seperti mengenakan hukuman yang berat bagi sesiapa yang berniat untuk menyebar dan menerbitkan buku yang sarat dengan kebencian itu juga wajar dipertimbangkan.

Beliau berkata, pihaknya membuat justifikasi itu setelah meneliti buku setebal lebih 500 muka surat tersebut yang memperincikan ‘peristiwa’ hitam sepanjang karier Tommy sebagai peguam dan Peguam Negara.

"Terdapat unsur penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, apabila penulis seolah mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu berkenaan pelantikan beliau dan kemampuan Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan dalam pelantikan Peguam Negara.

"Tulisan beliau juga menggambarkan terdapat manipulasi kotor yang sedang berlegar dalam institusi kehakiman dan perundangan yang akan menyebabkan keraguan yang tinggi oleh rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, buku itu juga mendedahkan tuduhan-tuduhan melampau terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang mana segala tuduhan ini datangnya daripada bekas Peguam Negara bukannya peguam biasa.

Justeru katanya, ia menimbulkan kembali keraguan terhadap peristiwa hitam 13 Mei yang mengorbankan ratusan nyawa akibat daripada rusuhan kaum dan menuduh beberapa individu menjadi dalang daripada peristiwa itu tanpa bukti yang sahih.

"Pemuda Pas berpendapat penerbitan buku itu boleh menjadi akibat yang buruk jika ia berada di pasaran dan dibaca oleh masyarakat yang tidak arif berkenaan sistem perundangan negara.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, selain tindakan pengharaman penerbitan buku itu, kami turut mencadangkan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Tommy semasa perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara ditarik balik atas perbuatan tulisan yang sarat dengan tohmahan dan fitnah kepada Institusi Diraja dan Institusi Kehakiman dan Perundangan di negara ini," katanya.