Meninggal dunia selepas selesai imamkan solat Zuhur

Kejadian tersebut dirakam CCTV masjid tersebut hingga menjadi bualan hangat penduduk Batam dan warga maya di laman sosial. - Foto: Tribunnews
Kejadian tersebut dirakam CCTV masjid tersebut hingga menjadi bualan hangat penduduk Batam dan warga maya di laman sosial. - Foto: Tribunnews
A
A
A

BATAM - Kematian yang dicemburui. Itu yang berlaku ke atas Hasan Basri Tandayong apabila disahkan meninggal dunia ketika selesai mengimamkan solat Zuhur di Masjid Al-Muttaqin, Batam Indonesia pada Isnin.

Dalam kejadian itu, Allahyarham dikatakan menjadi imam ganti selepas imam bertugas ada urusan, lapor Tribunnews pada Khamis.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan hingga menjadi bualan hangat penduduk Batam dan warga maya di laman sosial.

Menerusi rakaman itu, Hasan dilihat sudah selesai memimpin solat Zuhur dan sedang berzikir namun secara tiba-tiba Allahyarham rebah ke belakang.

Imam Masjid Al-Muttaqin, Jamal Ghofar, 35, berkata, ramai mencemburui pemergian Allahyarham.

"Masya-ALLAH, sungguh beruntung dia (Hasan) meninggal dalam keadaan baik, tepat setelah selesai menunaikan solat di masjid ini, pada waktu itu dia adalah imam.

"Ada juga yang mengatakan bahawa mereka ingin mati dengan cara yang sama seperti terjadi pada Hasan, saya juga salah seorang daripada mereka," katanya.

Menceritakan keperibadian, Hasan merupakan seorang bilal selama 10 bulan di masjid tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum meninggal dunia, dia sering mempelajari pelbagai doa dalam kehidupan sehariannya dan bertutur jika perlu sahaja.

Sebelum ini, Hasan tidak pernah menjadi imam dan itu adalah tugas pertama dan terakhir menjadi seorang imam.

Hasan merupakan seorang penjual pisang goreng keju di Taman Jodoh, meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Isterinya, Evi, 54, melahirkan rasa terkejut namun bersyukur pemergian Allahyarham dalam keadaan baik (husnul khatimah).

"Arwah beritahu, dia ingin ke masjid, solat Zuhur. Kemudian selang beberapa jam, saya dapat berita daripada jiran mengatakan arwah pengsan di masjid.

"Saya tidak tahu bagaimana perasaan saya sekarang, saya sedih kerana suami meninggal tetapi pada masa sama, saya bangga kerana suami meninggal dalam keadaan baik (husnul khatimah)," katanya.