Azmie Diron dilantik Setiausaha Kerajaan Selangor baharu

Datuk Nor Azmie Diron
Datuk Nor Azmie Diron
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron dilantik sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baharu berkuatkuasa 3 Februari.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelantikan itu bagi menggantikan penyandang jawatan berkenaan, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya yang mengambil cuti awal sebelum tarikh persaraan pilihan pada 31 Mac ini.

Beliau berkata, Nor Azmie telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sejak 1995 lagi malah beliau turut berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Beliau juga pernah berkhidmat dengan beberapa agensi dan kementerian serta berpengalaman luas menguruskan beberapa portfolio termasuk keusahawanan, kewangan dan pengurusan sumber manusia.

"Beliau juga pernah memegang jawatan penting di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor sebelum dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri pada 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri berharap Nor Azmie dapat menyumbang bakti buat Selangor khususnya dalam merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama.

Katanya, pihaknya turut merakamkan penghargaan buat Mohd Amin atas pengorbanannya sepanjang menjawat jawatan tersebut.

"Sesungguhnya kepimpinan dan pengalaman beliau khususnya dalam menguruskan Covid-19 baru-baru ini akan sentiasa dikenang dan tersemat dalam hati semua penjawat awam di Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan: