Skuad Badar: Boleh terus operasi tapi…

Dr Ismail (lima, kanan) ketika pelancaran Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus Mara Kedah.
Dr Ismail (lima, kanan) ketika pelancaran Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus Mara Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menasihatkan Skuad Badar menghentikan sementara aktiviti NGO itu sehingga kes pendakwaan di mahkamah selesai.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, ini bagi mengelak wujud salah faham atau tindakan susulan akibat tidak mematuhi perundangan atau prosedur operasi standard (SOP) dikehendaki.

“Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa mengadili kes itu untuk dilakukan pendakwaan. Jika ahli dan NGO itu masih aktif jalankan aktiviti selepas direman, ia tidak sewajarnya berlaku.

“Jika masih berdegil, anda nilailah sendiri sikap mereka terhadap perundangan negara,” katanya, selepas merasmikan program ‘Lets Fit & Fun’ sempena pelancaran Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus Mara Kedah, hari ini.

Menurutnya, Skuad Badar boleh membantu mencegah kemungkaran dan bekerjasama dengan Pejabat Agama daerah tanpa melakukan penguatkuasaan sendiri dan jika NGO itu masih berminat meneruskan usaha dakwah, mereka harus mengikut peraturan dan SOP ditetapkan pada masa akan datang.

“Mereka tidak boleh ikut undang-undang rimba sesuka hati, semua orang terikat pada perundangan negara. Saya mohon mereka akur dan jika mahu teruskan amal makruf nahi mungkar dibolehkan, tetapi harus ikut peraturan,” katanya.

“Jika masih tak ikut SOP, ikut penguatkuasaan sendiri, maka kita tak benarkan. Dibimbangi pendekatan itu boleh calarkan imej Islam. Harap mereka bersikap terbuka dan akur pada ketetapan,” katanya.

Dr Ismail berkata, kerajaan negeri bertindak tegas kerana bimbang menjadi ikutan NGO lain yang kelak bertindak tanpa panduan sehingga menimbulkan kekacauan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad menegaskan akan meneruskan aktiviti mencegah kemungkaran selepas kes melibatkan NGO itu selesai. Beliau maklumkan, aktiviti NGO itu akan berbeza berbanding sebelum ini selain berpandukan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah sebelum ini mengesahkan, siasatan kes itu sudah siap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pada 14 Januari lalu, Azhar dan seorang ahli NGO itu ditahan reman kerana dipercayai melanggar Akta Pertubuhan serta Akta Rahsia Rasmi.

Kumpulan itu aktif di Sungai Petani menjalankan operasi cegah maksiat dan tular di Facebook apabila didakwa menjalankan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain tidak pernah dilantik menjadi pegawai penguat kuasa agama.

NGO terbabit juga didakwa tidak berdaftar serta memasuki premis tanpa kebenaran. Malah dikatakan bertindak keterlaluan seperti menahan pasangan berkhalwat dan membawa mereka ke kawasan perkuburan untuk diberikan nasihat.