Vietnam Airlines rugi lebih AS$481 juta

No Image Caption
A
A
A

HANOI - Vietnam Airlines kerugian 11,098 bilion VND (lebih AS$481 juta) pada 2020 berikutan kesan pandemik Covid-19, menurut laporan kewangan terbaharunya.

Pada suku terakhir 2020 pendapatan bersihnya mencapai 8,202 juta VND, hanya satu pertiga daripada jumlah pendapatan suku keempat 2019. Keuntungan sebelum cukai adalah negatif 377 juta VND berbanding 97 bilion pada tempoh sama tahun lalu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Syarikat penerbangan negara memperoleh hampir 40,613 bilion VND dalam pendapatan bersih pada 2020, merosot 59 peratus tahun ke tahun.

Kerugian ini, bagaimanapun, lebih rendah berbanding anggaran 14,445 bilion VND yang diumumkan pemimpinnya dalam mesyuarat khas pemegang saham pada 29 Januari 2020.

Sehingga akhir Disember, jumlah asetnya bernilai 62,967 bilion VND, turun 17.6 peratus sejak awal tahun ini.

Dalam usaha menyokong syarikat penerbangan tersebut di tengah pandemik ini, Majlis Negara mengguna pakai pakej sokongan 12 trilion VND pada November.

Angka menunjukkan Vietnam Airlines mengendalikan sekitar 96,500 penerbangan tahun lalu, susut 48 peratus tahun ke tahun disebabkan Covid-19, yang menerbangkan 14.23 juta penumpang dan 195,000 tan metrik kargo, masing-masing menurun sebanyak 51 peratus dan 47 peratus.

Syarikat penerbangan itu mengatakan akan menumpukan kepada pemulihan perniagaan dan operasi pada tempoh 2021-2025, sambil melancarkan rancangan penyusunan semula untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Artikel Berkaitan:

Ia juga akan melepaskan sebahagian atau seluruh pelaburannya dalam perniagaan tertentu dalam bidang pengangkutan penerbangan - Bernama