X

Kindly register in order to view this article
!

Tempias rampasan kuasa di Myanmar

Penyokong Suu Kyi melakukan demontrasi di hadapan kedutaan Myanmar di Bangkok pada Isnin. - AFP
A
A

KERETA kebal dikerah di jalan-jalan bandar utama, talian internet terputus manakala Presiden Win Myint dan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi ditahan.

Begitulah plot terbaharu rampasan kuasa di Myanmar Isnin lalu apabila pihak tentera menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat atas alasan penipuan dalam pilihan raya.

Perkembangan di Myanmar sangat membimbangkan. Walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan cara pemenang anugerah Nobel, Suu Kyi menangani krisis Rohingya, kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya harus dipertahankan.

Rampasan kuasa tentera dalam apa jua bentuk mesti dikutuk kerana ia telah menjejaskan peralihan Myanmar menjadi sebuah negara demokrasi seperti yang diinginkan rakyatnya.

Pada pilihan raya umum November lalu, parti pemerintah pimpinan Suu Kyi menang besar. Ia merupakan pilihan raya demokratik kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator tentera selama 50 tahun.

Namun, reputasi Suu Kyi tercalar selepas beliau merestui gempuran tentera di Rakhine pada 2017 yang mengakibatkan 700,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Mereka masih tersadai di dalam kem pelarian.

Krisis terbaru di Myanmar bakal menjadi duri dalam daging di rantau Asia Tenggara. Malaysia pastinya tidak akan campur tangan dalam hal dalaman di Myanmar. Namun, sebagai sebuah negara anggota ASEAN, pastilah Malaysia mahukan sebuah negara anggota yang sihat politik dan ekonominya.

Negara ASEAN yang sihat akan melimpahkan kemakmurannya di rantau ini atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan negara jiran yang lain. Sebaliknya, negara yang sakit akan menyebabkan negara-negara lain terkena tempias termasuklah ancaman keselamatan seperti percubaan pendatang Rohingya mendarat di negara ini.

Malangnya, rampasan kuasa di Myanmar sekarang dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan kira-kira 600,000 Muslim Rohingya yang masih berada di negara itu, malah terdapat kemungkinan mereka akan melarikan diri ke negara seperti Malaysia.

Justeru, ASEAN haruslah memainkan peranan dengan berkesan untuk membantu menyelesaikan krisis di Myanmar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!