Pawagam yang hilang

Pawagam Sungai Besar suatu ketika dahulu menayangkan filem-filem hebat seperti Azura, akhirnya gulung tikar dengan kemunculan VHS, CD dan DVD. Bangunan itu kemudiannya jadi kedai snuker dan kedai perabot.
Pawagam Sungai Besar suatu ketika dahulu menayangkan filem-filem hebat seperti Azura, akhirnya gulung tikar dengan kemunculan VHS, CD dan DVD. Bangunan itu kemudiannya jadi kedai snuker dan kedai perabot.
A
A
A

PENGALAMAN saya dengan dunia wayang gambar tidaklah banyak. Daripada pembacaan, saya tahu panggung wayang gambar – kemudiannya disingkatkan dan dipopularkan sebagai ‘pawagam’ oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee – mula muncul di Kuala Lumpur sejak tahun 1917.

Jika tidak silap nama panggung itu Alhambra, terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ketika itu dikenali dengan nama Batu Road.

Sungai Besar adalah sebuah pekan kecil yang memiliki pawagam. Tempat kami melepas lelah selepas menuai di bendang.

Seingat saya seawal tahun 1981, ketika Darjah Tiga, saya sudah menonton wayang bersendirian. Filem Dia Ibuku, lakonan Seniwati Sarimah dan anaknya, M Jamil dan Mozaid.

Ketika kecil, meriahnya apabila Jabatan Penerangan masuk memasang layar besar di padang atau kawasan-kawasan terbuka bagi sesi tayangan gambar percuma.

“Hari itu akan jadi hari yang paling istimewa di kampung kami. Ada yang sebelum maghrib sudah bersila di padang menanti waktu tayangan.

"Ada yang bawa tikar, bawa surat khabar lama untuk dijadikan alas tempat duduk. Yang angkut makanan macam orang berkelah pun ada.”

Itu cerita yang saya dapat daripada satu sumber, seorang pakcik yang mengaku peminat setia Sarimah, Latifah Omar, Saadiah, Kasma Booty dan ramai lagi.

Artikel Berkaitan:

“Wayang Jabatan Penerangan ni ada yang tak seronoknya. Waktu kita tengah asyik menonton, tayangan dihentikan.

"Lampu dipasang dan pegawai penerangan akan memberi ceramahnya tentang dasar kerajaan, tentang isu itu, isu ini yang semuanya berkaitan kerajaan dan orang-orang macam bos.” Dia merujuk kepada saya walaupun matanya memandang ke arah lain.

Pengaruh wayang gambar yang cukup besar itulah menyebabkan suatu ketika dahulu pawagam tumbuh macam cendawan. Asal ada pekan, adalah pawagam.

Bayangkan perjalanan dari Sabak Bernam ke Tanjong Karang yang mengambil masa hampir satu jam, kita akan melihat empat buah pawagam.

Bangunan separuh batu dan papan dengan kerusi kayu yang berdentum ketika dilipat menjadi pawagam begitu nostalgia.

Di depan sekali, kerusi kayu panjang macam kerusi kantin.

Kalau berbaik dengan penjaga tiket, dapatlah masuk percuma. Ada kalanya cheap matinee dengan tiket 40 sen setiap hari Rabu.

Di pawagam Happy Sungai Besar, filem Azura lakonan Jamal dan Ogy pada tahun 1983 menjadi bualan ketika saya dalam Darjah Lima. Panggung penuh setiap malam.

Di Kuala Lumpur pada tahun 1970-an, ada sebuah pawagam yang diusahakan oleh P Ramlee dan kawan-kawannya.

Pawagamnya tidaklah hebat tetapi ia satu simbol perjuangan anak-anak Melayu dalam usaha memecahkan monopoli pihak lain dalam perniagaan berkaitan.

P Ramlee sendiri tidak sempat menyaksikan filem pertama ditayangkan di pawagam itu pada 15 Ogos 1973 kerana beliau meninggal dunia mengejut kira-kira dua bulan setengah sebelumnya.

Tumpuan

Berbalik tentang pawagam. Sejak 1950-an sehinggalah lebih tiga dekad kemudian, pawagam menjadi pusat tumpuan kebanyakan orang untuk mendapatkan hiburan.

Pada pawagamlah peminat melepaskan rindu kepada pelakon-pelakon kesayangan mereka.

Di pawagam jugalah orang berkasih melepaskan rindu kepada buah hati di sebelah. Ada yang tidak fokus pun pada layar, sebaliknya sibuk berbisik tentang pelamin, hantaran, nama anak dan minggu depan hendak berjumpa di mana.

Ada juga kes pasangan yang masuk pawagam secara berasingan, di dalam nanti duduk berdekatan, semasa keluar kembali berasingan.

Hebat pawagam mula mengendur apabila memasuki era pertengahan 1980-an ketika pita-pita VHS yang boleh dimainkan dengan alat pemain video di rumah menjadi fenomena.

Pita-pita itu agak mahal tetapi ia tidak menjadi masalah kerana kedai-kedai yang menyewakannya pun banyak. Hanya sekitar RM3 satu pita untuk dua atau tiga hari. RM5 atau RM6 bagi filem yang ‘lain macam sikit’.

Fenomena yang dibawa oleh pita VHS menyebabkan banyak pawagam gulung tikar.

Bangunan-bangunan besar yang pernah dibanjiri penonton ketika berlangsungnya tayangan filem-filem box office mula ditukar perlahan-lahan imejnya menjadi kedai perabot, arked membeli-belah, bilik pameran kereta dan sebagainya.

Pawagam Sungai Besar pernah menjadi kedai snuker dan kedai perabot.

Kemunculan VCD dan DVD memburukkan lagi nasib saki-baki pengusaha pawagam yang tinggal. Mereka terkial-kial untuk bertahan sebelum akhirnya turut menyerah kalah.

Turut menjadi mangsa adalah penggiat industri filem kerana seperti VHS, VCD dan DVD membuka pintu seluas-luasnya kepada perusahaan ‘cetak rompak’.

Mujurnya penggiat-penggiat industri itu tidak mati akal. Mereka meneroka teknologi baharu dalam penerbitan filem dengan bidang luas dan sistem bunyi yang hanya boleh dinikmati di premis yang dilengkapi sistem berkenaan.

Maka, perlahan-lahan pawagam muncul kembali. Yang membezakan pawagam generasi baharu dengan generasi dahulu adalah ia kebanyakannya dibina di kompleks-kompleks membeli-belah, bukannya lagi di bangunannya sendiri.

Saiz pawagam juga berbeza, manakala tempat duduk jauh lebih lapang dan selesa.

Pemilikan pawagam juga berubah daripada pemilikan tunggal kepada serangkaian pawagam GSC, MBO dan pelbagai lagi.

Pelbagai pawagam diperkenalkan dengan kriteria khusus seperti Standard Hall, Beanie Hall, Atmos Hall, Auro Hall, Gold Class dan macam-macam lagi. 'Privacy' sofa untuk berdua pun ada.

Pawagam-pawagam generasi baharu berjaya mengembalikan kegemilangan dunia panggung wayang gambar.

Walaupun pada masa yang sama ia perlu bersaing dengan pelbagai medium baharu yang menggantikan VCD dan DVD termasuk tayangan di atas talian atau tv kabel, namun kedudukannya tidak goyah.

Begitu juga dengan kemunculan sistem pawagam dalam rumah.

Semuanya tidak dapat memalingkan minat khalayak daripada pawagam. Ia terus menjadi tumpuan, tidak kiralah walau harga tiketnya sama dengan seekor ayam atau harga bertih jagungnya cukup untuk membeli gula tiga empat kilogram.

Kini pawagam kembali ‘hilang’. Kali ini bukan kerana kalah bertarung dengan lanun cetak rompak atau filem dalam peranti tetapi kerana serangan musuh tidak dijangka yang tidak kelihatan, koronavirus.

Saya percaya pandemik Covid-19 memberikan ilham kepada ramai penggiat industri untuk menghasilkan filem mengenainya namun yang menjadi persoalan, berpeluangkah kita menontonnya di pawagam seperti dahulu.

Sekarang ini deretan filem terkini datang ke dalam rumah. Contohnya, Netflix yang diasaskan oleh Reed Hasting dan Marc Randolp membawa filem ke laptop dan handphone.

Di bilik, atas sofa boleh melayan filem secara online. Sejujurnya penapisan filem menjadi tidak relevan. Sendiri tonton sendiri tapis. Bolehkah? #dush

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia