Saya akan beri kerjasama kepada polis: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan kerjasama kepada semua pihak terutama polis sekiranya memerlukan siasatan.

Beliau bagaimanapun berkata, kerjasama tersebut akan diberikan sekiranya melibatkan perundangan negara dan bukannya arahan daripada menteri.

“Saya akan beri kerjasama kepada semua pihak termasuk polis kalau difikirkan ada alasan perundangan dan bukan ikut arahan menteri.

“Kenyataan ini menteri keluarkan seolah-olah mengarah, jadi saya harap pihak polis dapat jalankan tugas secara profesional, dan saya akan berikan kerjasama sebaiknya.,” katanya dalam siaran langsung di Facebook beliau pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, polis telah membuka siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.

Menurut Hamzah, turut disiasat ialah beberapa individu yang senada dengan Ketua Pembangkang tersebut.

Sementara itu, Anwar berkata, rayuan yang dihantar ke Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ialah sebagai rayuan ihsan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk menimbang semula keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, tiada undang-undang yang tidak membenarkan rakyat untuk memohon ihsan Seri Paduka Baginda dalam setiap perkara.

Artikel Berkaitan:

“Tolong baca semula apa saya tulis, saya tulis memohon dan merayu ihsan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk menimbang semula keputusan. Apakah rakyat biasa di luar sana tidak boleh merayu untuk memperbaiki kerajaan jika kita tidak bersetuju ?

“Adakah tanggungjawab rakyat perlu sokong keputusan kerajaan, yang kita bantah ialah keputusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, Jemaah Menteri seharusnya meneliti hal tersebut dan bukannya memeras ugut pendapat orang lain.

Tambah beliau, bagi pihak Pakatan Harapan (PH), ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus mengemukakan rayuan tersebut di mahkamah.

“Adakah mengemukakan fail petisyen di mahkamah itu menyalahi undang-undang. Saya harap pimpinan negara tidak guna ugutan.

"Kamu sudah kalah majoriti. Kamu kena hadapi sebab dah kalah, jangan guna ugutan,” katanya.