Jangan buat laporan palsu konon disamun jika hilang kad pengenalan

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad MazlanYahya ketika Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertempat di Plaza Tol USJ, Lebuhraya Elite pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad MazlanYahya ketika Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertempat di Plaza Tol USJ, Lebuhraya Elite pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis memberi amaran kepada orang ramai yang kehilangan kad pengenalan supaya tidak membuat laporan palsu kononnya disamun.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya laporan palsu sebegitu dibuat.

"Apa yang kita lihat mereka yang kehilangan kad pengenalan selalunya mengambil kesempatan dengan membuat laporan polis mengatakan mereka disamun. Tapi apabila siasatan dijalankan, kita mendapati mereka memberikan keterangan palsu.

"Mereka melakukan sebegini untuk mengelakkan dikompaun Jabatan Pendaftaran Malaysia. Namun perbuatan membuat laporan palsu adalah salah dan akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya ketika tinjauan sempena Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Plaza Tol USJ Lebuhraya Elite di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam operasi itu ialah Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Mazlan Yahya.

Sementara itu, Abd Khalid berkata, dari segi indeks jenayah, Subang Jaya mencatatkan kadar penurunan jenayah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

"Saya tidak dapat berikan peratusan, namun apa yang kita lihat kadar jenayah memang turun sepanjang PKP. Ini hasil pemantauan yang kerap dilaksanakan polis dalam tempoh PKP ketika ini.

"Bukan itu sahaja, malah banyak kes-kes jenayah terutama kes kecurian motosikal yang dapat diselesaikan sepanjang PKP ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai kepatuhan masyarakat sepanjang PKP di Subang Jaya, beliau berkata, kadar kepatuhan masyarakat adalah dalam kadar yang terbaik.

"Dari sudut pematuhan prosedur operasi standard (SOP), saya amat berpuas hati dan saya harap perkara ini dapat dikekalkan.

"Saya nasihatkan masyarakat agar terus patuhi SOP. Selagi boleh terus kekal berada di rumah dan bersama kita putuskan rantaian wabak Covid-19 ini," katanya.