X

Kindly register in order to view this article
!

Golongan belia perlu main peranan

Amirullah Othman
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan belia diminta untuk memainkan peranan bagi memastikan gejala rasuah tidak terus berleluasa sehingga menjadi masalah besar yang merencatkan pembangunan negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia Negeri Terengganu (MBNT), Amirullah Othman berkata, langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan negara dapat terus membangun dengan baik selari dengan pembangunan dunia di peringkat global.

Beliau berkata, MBNT sentiasa menyokong usaha dilakukan bagi menentang rasuah, malah menitikberatkan integriti dalam setiap aspek pengurusan.

“Kita mengamalkan polisi Ketinggian Integriti dan Sifar Rasuah termasuk dalam perolehan dan pelaksanaan aktiviti secara berkala sejak 2018.

“Dalam masa sama, pelbagai bengkel dilaksanakan seperti pengurusan Pertubuhan Belia dan Jelajah Belia Terengganu Sejahtera di mana elemen utama ialah Sifar Rasuah dan Peningkatan Integriti dalam pengurusan pertubuhan belia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pemerhatian, amalan rasuah di Terengganu dilihat masih pada tahap rendah, bagaimanapun ia tetap membimbangkan.

Menurutnya, kebanyakan rasuah melibatkan golongan belia disebabkan faktor hilangnya kesabaran dan integriti dalam diri seseorang.

“Belia yang terlibat rasuah dilaporkan berada pada tahap yang tinggi di Malaysia. Ini berlaku apabila golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan tidak mempunyai sifat sabar dan disulami dengan kurangnya integriti menyebabkan amalan rasuah mula bercambah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh usaha menangani isu rasuah secara bersama dan digerakkan oleh semua pihak termasuk dalam kalangan masyarakat sendiri.

“Kaedah menangani rasuah secara bersama dengan kesedaran dalam diri setiap individu dapat membantu kita mengekang jenayah ini daripada terus menular.

“Saya menyokong penuh kempen Sinar Rasuah Busters kerana ia dapat membantu menyuntik kesedaran masyarakat dalam memerangi jenayah ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!