Adam Loi bukan penerima vaksin pertama: KKM

Kenyataan tular berkaitan Adam Loi yang menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19.
Kenyataan tular berkaitan Adam Loi yang menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan tular berkaitan seorang sukarelawan bernama Adam Loi yang menjadi individu pertama menerima vaksin telah disalah tafsir.

Menurut kenyataan Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sukarelawan tersebut telah menerima vaksin kajian dan bukannya vaksin Covid-19.

“Tersebar grafik dalam media sosial yang mendakwa Adam Loi adalah penerima pertama vaksin Covid-19. Gambaran grafik tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, beliau merupakan sukarelawan yang pertama menerima vaksin kajian Covid-19 bukannya vaksin Covid19,” katanya kenyataan itu pada Isnin.

Menurut KKM, jika mengikut tatacara klinikal, berkemungkinan sukarelawan tersebut menerima vaksin sebenar atau hanya plasebo.

Tambah KKM, penerima vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia masih belum ditentukan lagi.

“Diharapkan pencerahan ini dapat memberikan gambaran sebenar mengenai siapa penerima pertama vaksin di Malaysia.

“Pihak yang menularkan grafik tersebut diminta menghentikan sebaran dan memadamnya bagi mengelak kekeliruan terus berlaku di kalangan orang ramai,” kata KKM.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekalan vaksin Covid-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.

Tambahnya, sebaik tiba di pintu masuk negara, vaksin berkenaan akan diagihkan kepada negeri-negeri sebelum ia disuntik kepada penerima.