Hutang peneroka: Kenyataan PM disalah tafsir - Felda

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah disalah tafsir.

Felda dalam satu kenyataan menjelaskan, penebusan semula sukuk antara lain bagi membiayai hapus kira hutang peneroka yang secara keseluruhan melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

“Walau bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Penghapusan sejumlah hutang peneroka ini telah dilaksanakan di peringkat Felda tanpa penyaluran peruntukan geran daripada kerajaan Persekutuan pada 2021 dan 2022.

“Jumlah pelupusan hutang ini telah memberikan impak yang besar kepada aliran tunai dan prestasi Felda,” kata agensi itu dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Felda, sebagai langkah membantu dan menjamin kelangsungan Felda, Anwar pada 26 Jun lalu telah menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA).

Menurut agensi itu, ia bagi penerimaan pertama geran RM990 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

“Perjanjian ini antara lain memberikan ruang kepada Felda untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“Felda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen bagi menyempurnakan proses pemulihan Felda demi menjamin kelangsungan sebagai satu institusi gergasi yang menaungi 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara,” kata Felda.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis tuntutan kepada Anwar

PM sedia tunjuk bukti hapus hutang peneroka Felda

Anwar, Muhyiddin berjasa dalam penyelesaian hutang peneroka Felda

Hutang Felda: Anwar tunjuk bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Hutang Felda: MOF sahkan Anwar tandatangan FSRA

Dokumen didedahkan bukan perjanjian lupus hutang Felda - Marzuki