Covid-19: 4,214 kes positif, 10 kematian

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Selepas tiga hari berturut-turut kes baharu Covid-19 mencecah angka melebihi 5,000, jumlah yang dicatat hari ini menyaksikan sedikit penurunan dengan 4,214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu juga kurang berbanding kes sembuh harian iaitu 4,280 menjadikan kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 170,329 atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara kini mencecah 219,173 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 48,074.

"Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 4,205 kes," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,362 diikuti Johor (1,068 kes) dan Kuala Lumpur (702).

Ia diikuti Sabah (276 kes), Perak (193), Pulau Pinang (119), Sarawak (105), Negeri Sembilan (91), Melaka (85), Kelantan (57), Pahang (54), Kedah (47), Terengganu (38), Putrajaya (10) dan Labuan dengan tujuh kes.

Dr Noor Hisham berkata 316 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 137 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 10 kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian ialah 770.

Artikel Berkaitan:

Kes kematian itu melibatkan tujuh lelaki dan tiga wanita warganegara berumur lingkungan 26 hingga 87 tahun dengan lapan daripada mereka mempunyai latar belakang berpenyakit.

Katanya 14 kluster baharu pula dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 401 dengan 73 daripadanya mencatatkan pertambahan kes pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata daripada 14 kluster baharu itu, sembilan membabitkan tempat kerja iaitu Tapak Bina Jalan Lagoon dan Industri Puchong di Selangor; Persiaran Raya dan Lapangan Siber (Perak); Kampung Parit Masjid (Johor); Tapak Bina Jalan Puchong (Kuala Lumpur); Ladang Sungai Pin (Sabah); Bintang Daily (Sarawak) dan Nilam Tiga di Negeri Sembilan.

Tiga kluster lagi ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Empat serta Jalan Tan di Kuala Lumpur dan Sungai Purun di Selangor manakala dua lagi daripada kluster komuniti iaitu Kampung Samin dan Padas Damit di Sabah.

“Kluster-Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Puchong (322), Kluster Tapak Bina Jalan Chulan (85) dan Kluster Tembok Taiping (81).

“Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 430 kluster termasuk lima yang tamat hari ini iaitu Kluster Tembok, Kluster GK Tawau, Kluster Sentosa Residensi, Kluster Menara Wang dan Kluster Maringkan,” katanya.- Bernama