Jabatan Perhutanan sedia disiasat SPRM

Datuk Mohamed Zin Yusop
Datuk Mohamed Zin Yusop
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak sedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan pemberian habuan seperti dilaporkan media.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa kononnya terdapat amalan memberi habuan kepada segelintir penguat kuasa bagi tujuan pembalakan di Perak disifatkan sebagai tidak berasas.

Katanya, hasil telitian pihak Jabatan Perhutanan Perak mendapati laporan akhbar tersebut merupakan lanjutan daripada siaran media yang pernah dikeluarkan pihak sama pada 26 Disember 2018 lalu

"Jabatan Perhutanan Negeri menganggap kenyataan dalam media ini adalah tidak berasas sama sekali. Jabatan juga bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak termasuk SPRM bagi menjalankan siasatan ke atas dakwaan wujudnya pemberian habuan tersebut.

"Pihak jabatan juga telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM atas aduan yang sama pada Disember 2018 yang lalu yang mana kes tersebut masih lagi di dalam tindakan pihak SPRM," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu dalam penjelasan lanjut, Mohamed Zin berkata, aktiviti pengusahasilan hutan di Perak hanya dilaksanakan di kawasan hutan yang diklasifikasikan sebagai Hutan Pengeluaran sahaja yang mana aktiviti pembalakan dijalankan secara mampan berasaskan Prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Katanya, berdasarkan kepada PHSB, Inventori Hutan Sebelum Tebangan dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan had batas tebangan yang sesuai bagi kawasan tersebut.

Beliau berkata, hanya pokok-pokok di atas had batas tebangan sahaja yang akan ditanda dan dibenarkan untuk ditebang dengan tertakluk kepada had pengeluaran 61 meterpadu bagi 1 hektar kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi memastikan pihak pelesen mematuhi syarat dan spesifikasi pengusahasilan yang ditetapkan, pemantauan dan pengawalan ke atas aktiviti pengusahasilan dibuat secara bulanan melalui Laporan Pengusahasilan Hutan Bulanan bagi setiap lesen yang telah diluluskan.

"Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri dan semua Pejabat Hutan Daerah menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara berkala termasuk rondaan dan sekatan jalan raya termasuk pemeriksaan di kawasan pengusahasilan hutan," katanya.

Mohamed Zin berkata, Jabatan Perhutanan Perak mematuhi semua peraturan dan spesifikasi yang telah ditetapkan dan buktinya mereka berjaya mengekalkan Sijil Pengurusan Hutan (MC&I : Hutan Asli) sejak tahun 2001 sehingga kini.