Kosovo negara kelima jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Sidang maya untuk memeterai perjanjian antara Israel dan Kosovo itu akan dilakukan pada Isnin. - Foto: Agensi
Sidang maya untuk memeterai perjanjian antara Israel dan Kosovo itu akan dilakukan pada Isnin. - Foto: Agensi
A
A
A

PRISTINA - Teka-teki negara terbaharu yang akan mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, Maghribi akhirnya terjawab selepas Kosovo mengesahkan ia akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel yang kononnya disifatkan sebagai 'detik bersejarah' buat negara Balkan.

Menteri Luar Kosovo, Meliza Haradinaj-Stublla memaklumkan, beliau bersama rakan sejawatannya di Tel Aviv, Gabi Ashkenazi akan mengadakan sidang maya untuk memeterai perjanjian itu pada Isnin.

"Pengiktirafan oleh Israel adalah salah satu pencapaian terbesar bagi Kosovo. Terima kasih diucapkan kepada Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu abadi kami," ujarnya.

Keputusan tersebut dicapai antara rejim Tel Aviv dan negara majoriti Islam itu ketika sidang kemuncak pemimpin Kosovo-Serbia di Rumah Putih yang turut dihadiri bekas Presiden Donald Trump pada September lalu.

Ketika pertemuan itu, Belgrade bersetuju untuk memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis yang diiktiraf AS sebagai 'ibu negara' Israel pada 2017 tanpa menghiraukan bantahan Palestin.

Pristina juga menyatakan kesediaannya untuk menubuhkan misi diplomatik di Kota Lama tersebut.

Pada 2008, Parlimen Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia kira-kira sembilan tahun selepas tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan kempen serangan udara selama 78 hari terhadap Belgrade bagi menghentikan tindakan kekejaman mereka ke atas etnik Albania di Pristina.

Sehingga kini, hanya Serbia dan sekutunya, Rusia serta China tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo walaupun diperakui kebanyakan negara Barat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, rejim Israel enggan mengiktiraf Pristina berikutan ia enggan menyokong pengisytiharan kemerdekaan secara sebelah pihak kerana bimbang penduduk Palestin akan mengikut jejak langkah mereka. - Agensi