X

Kindly register in order to view this article
!

Pengusaha batik guna teknik ‘ecoprint’, lebih mesra alam

Pengusaha batik 'Ecoprint', Khairizal Ishak, 33, meneliti hasil seni kraf batik yang menggunakan teknik 'Ecoprint'. Khairizal berkata teknik ini tidak ramai orang buat kerana pembuatannya agak rumit yang mana lima pasang batik untuk menghasilkan corak dari teknik ini memerlukan masa antara sembilan hingga 14 hari. - Foto Bernama
A
A

PENDANG - Pembuatan seni kraf batik kebiasaannya lebih popular di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan, namun seorang pengusaha batik di sini menghasilkan kraf itu luar daripada kebiasaan dengan teknik baharu iaitu ‘ecoprint’.

Khairizal Ishak, 33, dari Kampung Padang Durian di sini yang berpengalaman dalam bidang pembuatan batik sejak 2012 berkata, teknik itu menggunakan tumbuhan semula jadi seperti daun, kulit kayu dan akar pokok yang corak dan warnanya lebih mesra alam tanpa menggunakan bahan kimia.

“Dua tahun kebelakangan ini saya buat penyelidikan guna tumbuhan semula jadi dipanggil teknik ecoprint... teknik ini tidak ramai orang buat kerana prosesnya rumit yang memerlukan masa antara sembilan ke 14 hari untuk menghasilkan lima pasang batik, namun ia ada peminatnya tersendiri,” katanya kepada Bernama di bengkel pembuatan batiknya di kampung itu baru-baru ini.

Pengusaha batik 'Ecoprint', Khairizal Ishak, 33, menyusun dan menampal sebahagian daun-daun herba seperti daun jarak, daun lemuni dan daun ceri di atas kain sebelum digulung dan diikat dengan kemas untuk dikukus selama dua jam bagi mendapatkan warna serta corak batik yang terbentuk secara semulajadi. - Foto Bernama
Pengusaha batik 'Ecoprint', Khairizal Ishak, 33, menyusun dan menampal sebahagian daun-daun herba seperti daun jarak, daun lemuni dan daun ceri di atas kain sebelum digulung dan diikat dengan kemas untuk dikukus selama dua jam bagi mendapatkan warna serta corak batik yang terbentuk secara semulajadi. - Foto Bernama

Khairizal berkata, warna serta corak batik terhasil secara semula jadi daripada dedaun pilihan seperti daun jarak, daun lemuni, daun ceri dan daun ketapang yang ditampal pada kain sebelum digulung dan diikat kemas untuk dikukus selama dua jam.

“Daun-daun ini perlu dirawat semalaman untuk diletakkan atas kain bagi mendapatkan corak serta warna batik sekali gus penghasilan batik melalui teknik ini sepenuhnya secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang warna yang ada bahan kimia," katanya yang turut menghasilkan batik canting.

Beliau berkata, antara cabaran untuk menghasilkan batik menerusi teknik itu adalah dari segi mendapatkan bekalan daun berkenaan selain memerlukan ketelitian semasa proses pembuatan bagi mendapatkan hasil batik terbaik.

Antara kenangan manis yang dilakar sepanjang kariernya membuat batik ialah beliau pernah mendapat tempahan daripada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Unik... Penghasilan warna serta corak batik yang terbentuk secara semulajadi selepas dikukus selama dua jam yang telah diusahakan oleh pengusaha batik 'Ecoprint', Khairizal Ishak, 33, telah berjaya menghasilkan seni kraf batik dengan keistimewaan tersendiri dan lebih mesra alam tanpa menggunakan bahan kimia seperti serbuk pewarna batik. - Foto Bernama
Unik... Penghasilan warna serta corak batik yang terbentuk secara semulajadi selepas dikukus selama dua jam yang telah diusahakan oleh pengusaha batik 'Ecoprint', Khairizal Ishak, 33, telah berjaya menghasilkan seni kraf batik dengan keistimewaan tersendiri dan lebih mesra alam tanpa menggunakan bahan kimia seperti serbuk pewarna batik. - Foto Bernama

Khairizal berkata, beliau mampu menghasilkan tempahan pelanggan termasuk butik kira-kira 50 pasang batik ecoprint sebulan yang dijual pada harga RM580 sepasang (empat meter), namun selepas tercetusnya pandemik Covid-19 ia merosot kepada kira-kira 20 pasang sebulan.

Beliau berkata, meskipun sektor ekonomi terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik itu, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan perniagaan batiknya kerana turut mendapat bantuan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Sebelum ini, saya banyak menyertai acara seperti Hari Kraf Kebangsaan untuk mempromosi dan menjual batik, tetapi kini perniagaan saya banyak bergantung kepada jualan dalam talian dan tempahan daripada pelanggan tetap.

“Saya juga merancang untuk mengadakan kelas dalam talian bagi mereka yang ingin belajar teknik menghasilkan batik termasuk kepada individu dari luar negara,” katanya yang memiliki diploma dalam pembuatan batik. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!