Penjawat awam paling kuat rasuah

SPRM mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu. Foto 123RF
SPRM mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan tangkapan SPRM dari tahun 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah terdiri daripada penjawat awam.

Sementara itu, seramai 1,622 atau 28.7 peratus terdiri daripada orang awam dan selebihnya terdiri daripada lain-lain kategori.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, perangkaan tersebut menunjukkan penjawat awam paling banyak terlibat dengan rasuah iaitu hampir separuh daripada jumlah tangkapan dalam tempoh tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil

“Ketirisan banyak berlaku dalam sektor awam khususnya melibatkan pihak kepimpinan yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara seperti perolehan kerajaan.

“Selain itu, ia juga berpunca daripada kegagalan sistem, pentadbiran serta kurang ketelusan dan pemantauan,” katanya menerusi Wawancara Sinar Ahad baru-baru ini.

Shamshun Baharin berkata, akibat daripada perkara tersebut telah menyebabkan nilai perolehan kerajaan meningkat ekoran daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, kelakuan rasuah juga berpunca daripada kurang kesedaran tentang kesan rasuah terhadap negara.

“Kerana mementingkan diri sendiri, pelaku rasuah tidak teragak-agak melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip mereka tanpa menyedari tindakan itu mendatangkan kerugian kepada organisasi, masyarakat dan negara,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau berkata, adalah penting untuk mengamalkan sikap integriti, jujur dan telus tidak kira dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan atau dalam menjalani kehidupan seharian.

“Ini kerana kegagalan untuk mengawal diri bukan sahaja akan memberi kesan kepada diri sendiri malah kepada ahli keluarga dan mereka yang berada di sekeliling kita,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kakitangan awam di negara ini ialah seramai 1.6 juta orang.