Jangan pandang ringan kejatuhan CPI

MOHD SHUKRI
MOHD SHUKRI
A
A
A

SHAH ALAM - Kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dari tangga ke-51 pada tahun 2019 kepada kedudukan ke-57 pada tahun lalu tidak boleh dipandang ringan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, walaupun CPI hanya persepsi tetapi ia diiktiraf di peringkat global dan menjadi indikator penting khususnya untuk pelabur luar negara.

"Kerajaan perlu serius menangani CPI kerana ia menjadi tanda ukur yang penting buat pelabur untuk membuat keputusan sama ada mahu melabur atau meneruskan pelaburan di sesebuah negara.

"Jika CPI teruk, pelabur akan menilai dan seterusnya akan takut untuk melabur kerana menganggap negara ini korup," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Shukri berkata, lebih membimbangkan bukan setakat bakal pelabur tidak mahu melabur tetapi juga pelabur sedia ada yang sudah melabur dalam negara mungkin akan lari.

"Bagaimana jika mereka lari dan melabur di negara lain yang dirasakan lebih menguntungkan dan meyakinkan? Ia hanya akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

"Pekerja-pekerja tempatan juga akan hilang pekerjaan dan ia juga akan menyebabkan masalah sosial yang lain," katanya.

Terdahulu pada Khamis, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan mendedahkan kedudukan Malaysia dalam dunia bagi tahun 2020 telah jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika mengulas berhubung punca kejatuhan CPI negara, Mohd Shukri berkata, beliau melihat terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi terutamanya pelaksanaan inisiatif menerusi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilihat terbantut.

Beliau berkata, segala inisiatif NACP itu diusahakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang sebelum ini diterajui oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Menurutnya, ketika itu impak inisiatif yang dibuat GIACC dilihat sangat positif bukan sahaja kepada orang tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Sebab orang dapat lihat kesungguhan serta banyak usaha dilakukan GIACC serta kerajaan untuk meningkatkan integriti. Keadaan itu memang mempengaruhi peningkatan CPI pada masa itu.

"Tetapi sekarang apabila pelaksanaan inisiatif itu terbantut, orang tak dapat lihat lagi sejauh mana kita berusaha untuk meningkatkan integriti di negara ini dan ia menjejaskan CPI negara serta skor," katanya.

Tegas Mohd Shukri, pada ketika ini, faktor pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin boleh dijadikan alasan mengapa pelaksanaan inisiatif tersebut tidak dapat dilakukan sehingga menyebabkan CPI jatuh serta ekonomi tidak dapat berjalan.

Namun katanya, untuk tempoh akan datang, kerajaan perlu melihat semula NACP sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

"Jika kerajaan mempunyai kekangan melaksanakan keseluruhan inisiatif itu, ia boleh diubahsuai mengikut kemampuan kita.

"NACP sangat penting kerana ia acuan untuk negara kita. Apa yang penting inisiatif itu mesti dilaksanakan kerana kita tidak mahu dipandang sebagai negara yang hanya pakar membuat inisiatif atau dasar tetapi implementasinya tiada," katanya.

Mohd Shukri berkata, untuk memperbaiki skor atau CPI negara, Malaysia boleh melihat dan menjadikan negara seperti Denmark, New Zealand, Finland dan Singapura yang berada pada kedudukan tertinggi CPI sebagai contoh.

Tegasnya, rata-rata negara seperti New Zealand, Finland, Jerman umpamanya bukan negara Islam tetapi mempraktikkan amalan Islam.

"Amalan itu melalui budaya integriti serta amanah yang cukup tinggi.

"Sedangkan kita di negara ini masih melindungi dan mempertahankan orang yang rasuah, yang pecah amanah atau yang sudah dituduh di mahkamah. Perkara itu perlu diperbetulkan, orang yang rasuah harus ditolak," katanya.