Indeks jenayah Johor turun 25.5 peratus pada 2020

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Indeks jenayah di Johor turun 2,520 kes atau 25.5 peratus dengan keseluruhan berjumlah 7,350 kes pada tahun 2020 berbanding 9,870 kes pada tahun 2019.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada 7,350 kes yang disiasat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri berjaya menyelesaikan 3,960 kes sekali gus melebihi Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan pucuk pimpinan.

"Dalam menangani isu penyeludupan dan penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), JSJ negeri merupakan perintis dalam penggunaan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pertuduhan di bawah jenayah terancang.

"Sejak 22 April hingga 31 Disember lalu, JSJ Johor berjaya menangkap seramai 716 suspek terdiri daripada 184 tekong dan 532 migran. Sebanyak 42 buah kenderaan darat dan sembilan buah bot dengan 12 enjin bot dirampas.

"Daripada jumlah itu, 77 suspek termasuk 19 pegawai agensi penguat kuasa diambil tindakan di bawah jenayah terancang mengguna pakai SOSMA, manakala seramai enam suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyampaikan Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Sabtu.

Ayob Khan berkata, operasi ke atas aktiviti pelacuran pula, seramai 4,597 suspek ditangkap melibatkan jumlah rampasan wang tunai berjumlah RM1.35 juta dalam 2,745 serbuan Ops Dadu pada tahun lalu.

Menurutnya, kes-kes jenayah harta benda seramai 3,613 suspek telah ditangkap dan sebanyak 53 kumpulan berjaya ditumpaskan hasil pelbagai operasi yang dijalankan secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu katanya, seramai 1,793 suspek telah dituduh di mahkamah manakala 86 suspek diambil tindakan di bawah POCA.

Sementara itu, bagi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pula, polis Johor berjaya menangkap seramai 19,013 suspek yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, rampasan dadah dibuat berjumlah 2,765 kilogram bernilai RM33 juta manakala harta yang disita berjumlah RM14 juta.

"Kontinjen Johor merupakan yang tertinggi membuat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu 738 pada tahun lalu. Bagi tahun lalu juga, JSJN johor berjaya menyelesaikan 22,000 kertas siasatan terbengkalai bagi tempoh 2011 hingga 2019," katanya.

Selain itu katanya, kes jenayah komersial turut menunjukkan penurunan sebanyak 1,640 kes iaitu keseluruhan berjumlah 32,385 kes sepanjang tahun lalu berbanding 34,025 kes pada tahun sebelumnya.