Dibuang kerja, hidup sebatang kara

Mohd Nasir yang hidup sebatang kara dalam rumah yang tidak terurus dan bersepah di Taman Seri Telok Mas, Melaka.
Mohd Nasir yang hidup sebatang kara dalam rumah yang tidak terurus dan bersepah di Taman Seri Telok Mas, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki hidup dalam keadaan menyedihkan apabila tinggal sebatang kara di sebuah rumah yang bersepah dan tidak terurus di Taman Seri Telok Mas di sini.

Mohd Nasir Manas, 50, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang telah diberhentikan kerja disebabkan masalah kesihatan.

Dia hidup dalam keadaan tidak terurus selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2012 akibat strok dan kanser limfoma.

Mohd Nasir berkata, sejak ibunya tiada, dia bukan sahaja kesunyian, malah terlalu bekerja kuat sehingga 12 jam sehari sehingga mengalami penyakit gout dan kencing manis menyebabkan dia sukar berdiri dan bergerak dalam tempoh yang lama.

Menurutnya, dia mempunyai seorang adik perempuan yang menetap di Negeri Sembilan, bagaimanapun adiknya itu sukar untuk melawatnya selepas suaminya meninggal dunia selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Salah sebuah bilik rumah Mohd Nasir di Taman Seri Telok Mas, Melaka yang tidak terurus dan bersepah.
Salah sebuah bilik rumah Mohd Nasir di Taman Seri Telok Mas, Melaka yang tidak terurus dan bersepah.

"Sebelum ini saya boleh menyara diri sendiri dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan. Tapi apabila diberhentikan, saya kehilangan punca pendapatan, bahkan permohonan pengeluaran wang melalui skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga gagal.

"Nak mengharapkan adik, dia pun ada tanggungan keluarga dan sekarang bergelar ibu tunggal. Jadi bila tak ada duit, saya hanya makan mi segera untuk alas perut," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasir berkata, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan bulanan daripada agensi berkaitan, malah sewa rumahnya sebanyak RM300 juga telah lama tertunggak.

Namun, katanya, dia bernasib baik kerana tuan rumah memahami kepayahan yang dilalui.

Fariza (kanan) bersama kakitangan JKM Daerah Melaka Tengah, ketika melawat Mohd Nasir di rumahnya di Taman Seri Telok Mas, Melaka pada Jumaat.
Fariza (kanan) bersama kakitangan JKM Daerah Melaka Tengah, ketika melawat Mohd Nasir di rumahnya di Taman Seri Telok Mas, Melaka pada Jumaat.

"Saya pun malu nak meminta-minta. Saya cuma berdoa dapat diberikan kesihatan yang baik untuk dapat bekerja untuk meneruskan kelangsungan kehidupan," katanya.

Sementara itu, Pembantu Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Fariza Ramli berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk permohonan bantuan am kepada Mohd Nasir.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya akan memanjangkan cadangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad untuk melakukan program gotong-royong bagi membersihkan rumah yang diduduki Mohd Nasir.

"Kita juga akan melihat apa bantuan yang boleh dihulurkan supaya dia terus berdikari dan meneruskan kehidupan," katanya.