Pemikir bantu pelajar terkesan PdPR

Muhammad Farid membantu salah seorang pelajar di Dewan PAWE, Balik Pulau pada Jumaat.
Muhammad Farid membantu salah seorang pelajar di Dewan PAWE, Balik Pulau pada Jumaat.
A
A
A

BALIK PULAU - Pelajar dan murid sekitar Balik Pulau di sini kini boleh menarik nafas lega apabila masalah liputan telekomunikasi untuk mereka menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjaya diselesaikan.

Selain masalah liputan telekomunikasi, terdapat juga dalam kalangan ibu bapa pelajar dan murid yang tidak mampu menyediakan gajet kerana kekangan kewangan.

Berikutan itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Badan Pemikir Melayu (Pemikir) dengan bantuan orang ramai membeli sebanyak 24 buah tablet untuk kegunaan pelajar dan murid yang memerlukan.

Pengerusinya, Datuk Muhammad Farid Saad berkata, beliau mendapat banyak rungutan daripada penduduk di beberapa kampung sekitar Balik Pulau berhubung masalah liputan komunikasi, selain tidak mempunyai gajet.

Mengambil tanggungjawab tersebut, katanya, beliau telah melancarkan tabung bantuan menerusi lama Facebooknya pada Isnin lalu.

Dalam tempoh dua hari, katanya, beliau berjaya mengumpulkan hampir RM10,000 dan telah memasang kemudahan wifi percuma berkelajuan 300mbps serta membeli 24 buah tablet.

"Sejak Disember lalu, saya menerima banyak aduan. Dengan itu, bersama rakan-rakan kami telah menubuhkan tabung untuk menyelesaikan masalah pelajar dan murid yang terkesan.

"Kebanyakan mereka ini tidak mampu membeli gajet selain capaian internet yang rendah," katanya kepada pemberita di pusat khidmatnya di Titi Teras dekat sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata, sasaran pihaknya sebelum ini adalah untuk mendapatkan sebanyak 50 buah tablet.

Artikel Berkaitan:

"Namun peruntukan belum mencukupi. Saya mohon, sesiapa yang ingin membantu, boleh menghubungi saya di Facebook," katanya.

Beliau berkata, semua kemudahan itu ditempatkan di Dewan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang dipantau oleh beberapa sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat.

"Pusat itu akan dibuka setiap hari bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 3 petang dan akan dipantau sukarelawan daripada PAWE. Sekiranya pelajar memerlukan internet pada waktu malam, ibu bapa disarankan menemani anak mereka.

"Pusat ini terbuka untuk semua penduduk dan ia percuma. Bagaimanapun, kita mohon supaya orang ramai menggunakan wifi untuk tujuan yang betul dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Muhammad Farid berkata, dalam jangka masa panjang, beliau akan cuba membangunkan pusat capaian internet di beberapa lokasi lain di sekitar Balik Pulau.

Katanya, pihaknya mendapati capaian internet di lebih 10 buah kampung di kawasan tersebut masih tidak memuaskan.

Tengku Nur Alia sedang mengikuti pembelajaran PdPR di Dewan PAWE, Balik Pulau pada Jumaat.
Tengku Nur Alia sedang mengikuti pembelajaran PdPR di Dewan PAWE, Balik Pulau pada Jumaat.

Sementara itu, calon Sijil Pelajaran Malaysia, Tengku Nur Alia Tengku Anwar berkata, dia sebelum ini terpaksa berkongsi komputer riba dengan abangnya, selain berdepan dengan capaian internet yang tidak konsisten.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Balik Pulau itu, dengan adanya kemudahan yang disediakan Pemikir itu, dia kini boleh mengikuti pembelajaran dengan baik.

"Sebelum ini saya berhadapan dengan capaian internet yang lemah, susah sangat. Kadang-kadang tertinggal apa yang guru ajar. Ia juga mengganggu pembelajaran saya.

"Tapi dengan ada kemudahan ini, pembelajaran saya berjalan lancar. Saya akan merebut peluang ini untuk belajar dengan lebih kuat lagi," katanya.