X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

PdPR: Majikan disaran tidak terlalu keras kepada ibu bapa

Azizi sebagai panelis dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-228 bertajuk ‘PdPR: Ibu Bapa Pening Kepala, Anak-Anak Jadi Mangsa?’ yang disiarkan menerusi atas talian di Studio Sinar Harian pada Khamis. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

SHAH ALAM – Majikan disaran tidak terlalu bertindak keras terhadap pekerja yang mempunyai anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid berkata, majikan perlu berlapang dada kerana isu yang dihadapi kini membabitkan semua pihak.

“Ketika Covid-19 ini semua perkara tidak boleh buat. Semua (kerja) secara atas talian. Tak perlu terlalu keras (kepada pekerja yang mempunyai anak) di pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-228 bertajuk ‘PdPR: Ibu Bapa Pening Kepala, Anak-Anak Jadi Mangsa?’ yang disiarkan menerusi atas talian di Studio Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang dan Personaliti Televisyen, Ahmad Fedtri Yahya sebagai panelis manakala Shahril Sarapudin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Azizi yang juga seorang majikan mendedahkan bahawa beliau sendiri memberi kelonggaran kepada pekerjanya yang mempunyai anak bagi mengikuti PdPR.

“Kita ada dua shift (kerja di rumah dan pejabat). Grup A dan Grup B. Grup A tiga hari dan Grup B tiga hari.

“Selepas itu suami isteri pula boleh berbincang, suami bekerja di pejabat dan isteri bekerja di rumah bagi memantau anak-anak mengikuti PdPR,” katanya.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga masalah kepada ibu bapa yang bekerja di sesetengah sektor seperti pembinaan dan perkilangan.

“Bagaimana mahu menyusun jadual ibu bapa bagi memastikan anak-anak dapat mengikut PdPR. Perlu ada satu perjumpaan bersama (pihak berwajib) untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Menurutnya, isu pembelajaran tersebut bukan hanya membabitkan ibu bapa dan sekolah semata-mata sebaliknya masyarakat yang perlu bersama memikirkan kaedah bagi membantu perkembangan pelajar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!