Bantu pelajar tak mampu beli makanan

Hasnul Zulkarnain menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-3 Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Hasnul Zulkarnain menyampaikan ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-3 Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan dicadang mengambil inisiatif membantu pelajar tercicir khususnya di sekolah menengah dengan dibantu syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pihaknya menyedari terdapat pelajar sekolah menengah tidak mampu membeli makanan di kantin pada waktu rehat.

Katanya, kebanyakan mereka ini ketika sekolah rendah merupakan penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) namun apabila di sekolah menengah, bantuan tersebut tidak lagi disediakan.

"Saya telahpun menghantar surat kepada Kementerian Pendidikan bagi mengadakan perbincangan dengan menteri bagaimana golongan pelajar ini boleh dibantu dan salah satu cadangannya kita sarankan syarikat korporat serta usahawan untuk sama-sama membantu.

"Usaha ini telah saya mulakan di kawasan Dun Titi Serong dan saya harap pihak kementerian mahupun Jabatan Pendidikan Negeri dapat memberikan respon terhadap cadangan ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-3 Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Menurut Hasnul Zulkarnain, syarikat korporat dan usahawan yang membantu pelajar ini mungkin boleh diberikan pelepasan cukai atas inisiatif mereka membantu kerajaan.

Katanya, perkara ini bukanlah perkara baharu tetapi berlarutan saban tahun namun ia terlepas pandang.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan mendapatkan maklum balas daripada Menteri Besar Perak tentang perkara ini.

"Insya-ALLAH, pada bulan Mac ini kita akan lancarkan program bantuan ini di peringkat Dun Titi Serong sebagai permulaan," katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain turut mencadangkan PUBI menggerakkan inisiatif bantuan tersebut dengan mendapatkan maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah mengenai pelajar tercicir itu.

Katanya, dengan cara itu, PUBI juga dapat bersama-sama membantu kerajaan menangani masalah terbabit.