Covid-19: Tiga sekolah menengah berasrama tetap beroperasi

Operasi tiga sekolah menengah berasrama yang dikenal pasti kluster aktif Covid-19 di Melaka masih berjalan seperti biasa.
Operasi tiga sekolah menengah berasrama yang dikenal pasti kluster aktif Covid-19 di Melaka masih berjalan seperti biasa.
A
A
A

MELAKA - Operasi tiga sekolah menengah berasrama yang dikenal pasti kluster aktif Covid-19 di Melaka masih berjalan seperti biasa walaupun membabitkan 226 kes positif dalam kalangan pelajarnya.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, tiga kluster sektor pendidikan itu melibatkan Kluster Jalan Selandar, Kluster Jalan Sempang 20 Jasin 2 dan Kluster Lorong Bukit Piatu 15 2.

"Kluster Jalan Selandar melibatkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar membabitkan 64 kes, Kluster Jalan Sempang 20 Jasin 2 membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghaffar Baba (72 kes) dan Lorong Bukit Piatu 15 2 iaitu Sekolah Menengah Teknik Melaka dengan 90 kes.

"Kesemua pelajar dihantar pulang ke rumah masing-masing untuk menjalani kuarantin bagi memastikan keadaan lebih terkawal dan mereka mempunyai simptom seperti sakit tekak, batuk dan selesema.

"Ia dikesan selepas ada pelajar mengalami simptom tersebut dan membuat ujian saringan Covid-19 sebelum ujian itu diperluas dalam kalangan pelajar lain dan mendapati semakin ramai yang positif selepas itu," katanya kepada pemberita pada Op Raya di sini pada Jumaat.

Dr Rusdi berkata, kesemua kluster berkenaan dijangka tamat pada 10 Mei dan keadaan di tiga sekolah itu juga terkawal, manakala Jabatan Kesihatan negeri akan terus melakukan pemantauan di sekolah-sekolah lain di negeri berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga dimaklumkan mengenai situasi terkini melibatkan sekolah-sekolah terbabit dan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan Covid-19 akan dijalankan secara berterusan dengan bantuan dan kerjasama pelbagai agensi.

"Walaupun kes terkawal dan tiada kenaikan ketara tetapi kita juga ingin menasihatkan kepada semua rakyat di negeri ini dan mereka yang pulang ke kampung halaman untuk beraya supaya menjaga kesihatan dan mengambil langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka di kawasan sesak bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19," katanya. - Bernama