Dua lelaki miliki 24 rekod jenayah diberkas

Antara motosikal curi yang dirampas di Ampang Hilir dan Pandan Dalam di sini Selasa lalu.
Antara motosikal curi yang dirampas di Ampang Hilir dan Pandan Dalam di sini Selasa lalu.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kes curi motosikal di kawasan Ampang dan Pandan Indah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan polis melakukan pemerhatian ke atas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna hitam yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu pada jam 1.30 petang.

"Seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan telah menghidupkan enjin motosikal tersebut, sebelum kita memberkasnya.

"Semakan mendapati motosikal berkenaan masih dilaporkan hilang di kawasan Pandan Indah pada 18 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, suspek berusia 40 tahun itu mempunyai 24 rekod lampau berkaitan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah manakala satu kes dikehendaki di Pahang di bawah Akta Pencegahan Jenayah.

"Hasil soal siasat, kita berjaya menangkap seorang lagi rakan sejenayahnya berusia 24 tahun yang mempunyai 24 rekod jenayah berkaitan kes samun, curi dan dadah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk, susulan itu pihak polis berjaya merampas empat buah motosikal yang dilaporkan hilang.

"Kita merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5, sebuah motosikal Yamaha 135LC dan sebuah Demak Matrix di Ampang Hilir dan Pandan Dalam Ampang. Modus operandi suspek mencuri motosikal adalah untuk kegunaan sendiri dan ada yang dijual bagi mendapatkan bekalan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat dan kami masih mengesan motosikal lain yang dicuri dan juga pembeli kenderaan curi itu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau boleh juga dikenakan denda.