Haram bermuamalat secara batil

Mohamad Akram - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamad Akram - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Islam melarang umatnya menjalankan aktiviti muamalat dengan cara yang batil (salah) seperti menipu, memperdaya dan sebagainya.

Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin berkata, kegiatan scam yang memanipulasi masyarakat bertentangan dengan kaedah muamalat yang dibenarkan Islam.

“Matlamat tidak menghalalkan cara kerana dalam Islam segala sesuatu yang kita lakukan mesti dengan cara yang diredai ALLAH SWT serta dibenarkan dalam syarak.

“Konsep muamalat dalam Islam perlu ada ijab dan kabul serta keredaan kedua-dua pihak. Bila terlibat dalam aktiviti scam, ia bertentangan dengan syarak.

“Apabila menyebut tentang mualamat yang batil (salah), maka segala yang terhasil daripada aktiviti itu hukumnya adalah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-71 bertajuk ‘Scammer: Kaya Dunia, Bankrap Akhirat’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Program itu turut menampilkan Pengerusi Pertubuhan Insaniah Rakyat Malaysia dan Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Abdul Kadir sebagai panelis manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan Surah al-Mulk ayat 13 hingga 15 dan Surah at-Taubah ayat 28.

Mengulas lanjut, Mohamad Akram berkata, walaupun aktiviti perniagaan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti.

Artikel Berkaitan:

“Sumber diperoleh mestilah bukan daripada yang batil sebab daripadanya kita beri anak makan, buat majlis, sedekah dan sebagainya namun ia tidak diterima sebab bukan dari sumber yang bersih.

“ALLAH tidak akan menerimanya melainkan sesuatu yang bersih dan suci serta terhasil daripada aktiviti yang dibenarkan syarak,” katanya.

Dari kiri: Fazrul, Shamsuddin, Mohamad Akram dan Ahmad Tarmizi program Wacana Al-Quran siri ke-71 bertajuk ‘Scammer: Kaya Dunia, Bankrap Akhirat’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKORMohamad Akram - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazrul, Shamsuddin, Mohamad Akram dan Ahmad Tarmizi program Wacana Al-Quran siri ke-71 bertajuk ‘Scammer: Kaya Dunia, Bankrap Akhirat’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Isnin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKORMohamad Akram - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tambah Mohamad Akram, umat Islam perlu mengambil contoh teladan yang ditunjukkan seorang penggembala kambing pada zaman Saidina Umar Al-Khattab.

“Saidina Umar sengaja menguji keimanan penggembala kambing ini dengan memujuk lelaki berkenaan menjual kambing ternakan tanpa pengetahuan tuannya. Beliau juga mengajar penggembala itu mereka-reka cerita kononnya kambing itu dibaham serigala.

“Namun alangkah terkejutnya Saidina Umar apabila penggembala itu menjelaskan kepadanya bahawa ALLAH melihat apa yang sedang berlaku. Bayangkan jika semua manusia di muka bumi seperti penggembala kambing itu, nescaya tidak akan ada kacau bilau di atas muka bumi ini,” katanya.

Katanya, setiap pengkhianatan yang dilakukan terhadap insan serta makhluk lain akan mendapat balasan setimpal daripada ALLAH SWT.

“Kalau kita nak scam, menipu atau buat pengkhianatan kepada orang lain, kita hendaklah merasakan ALLAH SWT akan menghitung setiap perbuatan kita.

“Jadilah seperti penggembala kambing, walaupun luaran seperti tidak berilmu namun sering mengingatkan diri bahawa ALLAH sentiasa ada. Inilah pengajaran yang perlu kita lihat, hayati dan masukkan ke dalam hati sanubari,” katanya.