Penciptaan semula misi

No Image Caption
A
A
A

PADA tahun 2020, walaupun semasa mengalami impak pandemik Covid-19, Singapura meraih 25 kali ganda lebih banyak modal kewangan untuk syarikat pemula teknologi berbanding Malaysia. Indonesia pula meraih 22 kali ganda. Vietnam, Filipina dan juga Myanmar kesemuanya mengatasi Malaysia.

Oleh yang demikian, jelas sekali bahawa institusi yang ditugaskan untuk memodenkan ekonomi – termasuk MDEC – perlu meningkatkan usaha dan hasil dalam hal ini dan melakukannya secepat mungkin. Namun, mengubah situasi ini dan merapatkan jurang perbezaan bukanlah sesuatu yang dapat diselesaikan dengan mudah. Sebaliknya, ia memerlukan perubahan akar umbi dan corak pemikiran masyarakat.

Era digital yang dibawa Revolusi Industri 4.0 (4IR) semakin menjelang dan ia membawa bersamanya perubahan masyarakat yang sangat bersepadu dengan teknologi.

Misi ‘Malaysia 5.0’ adalah untuk memastikan perubahan ini bersifat inklusif dan adil dan tidak meluaskan lagi jurang perbezaan antara rakyat dalam semua aspek sosioekonomi.

Melalui langkah-langkah yang diambil untuk mencapai visi ini, Malaysia 5.0 menumpukan usaha ke arah wawasan penyatuan masyarakat yang menjangkau kepercayaan dan identiti perkauman ke arah nilai-nilai murni yang mempromosikan kesejahteraan bersama.

Teknologi hebat 4IR akan membawa transformasi digital masyarakat yang mempunyai potensi buat pertama kalinya dalam sejarah manusia untuk menghasilkan desentralisasi data dan pengagihan sumber maklumat kepada pemilik/pencipta data atau maklumat tersebut – sekali gus menghasilkan pendemokrasian data, maklumat dan ilmu pengetahuan yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat.

Ini menjadi tugas penting MDEC untuk melengkapi rakyat dengan alat dan kemahiran agar tidak hanya menjadi pengguna teknologi 4IR pada era teknologi yang mengganggu tetapi juga berkembang maju sebagai penambah nilai dan penghasil teknologi. Ini dijangkakan dapat menyumbang kepada kemajuan peribadi dan pertumbuhan ekonomi yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Menjelang ulang tahun Jubli Perak ke-25 tahun ini, kami telah mengumumkan misi ‘Reinvent’ MDEC yang menandakan anjakan paradigma baharu untuk bersiap sedia menghadapi norma baharu yang belum diterokai dan akan kekal lebih lama daripada jangkaan ramai.

Artikel Berkaitan:

Misi ‘Reinvent’ kami membawa pendekatan dan perspektif baharu yang diperlukan untuk menjadikan Ekonomi Digital sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.

Ciri utama misi ini adalah pertama, ketelusan secara menyeluruh dan tadbir urus yang baik; kedua, pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi; dan ketiga, kerjasama antara kerajaan dan seluruh sektor swasta.

Berpandukan ciri utama di atas, hasil tinjauan dan kajian bebas secara menyeluruh ke atas status tadbir urus sedia ada (bagi menilai semula kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan misi ‘Reinvent’ kami), MDEC telah menyaksikan proses pergerakan modal insan dalam semua peringkat yang membolehkan kami membawa masuk bakat yang fokus pada industri dan ahli teknokrat.

4IR mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan seperti yang diingini bersama naratif baharu yang membawa masyarakat menjangkau era informasi dan ke era 4IR dan transformasi digital berpusatkan rakyat dan bukan sebaliknya - iaitu era Malaysia 5.0 seperti yang kita sebutkan – di mana desentralisasi data dapat dicapai dan maklumat dikendalikan oleh pemiliknya untuk manfaat masing-masing.

Jelas sekali mencapai misi ini adalah tugas besar di luar kemampuan mana-mana institusi secara sendiri. Wawasan ini mestilah menjadi matlamat bersama dalam kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Matlamat Malaysia 5.0 merangkumi penggalakan pertumbuhan dan kemajuan untuk semua; integrasi teknologi 4IR secara mendalam di setiap lapisan masyarakat: individu, industri, kerajaan dan persekitaran; dan perubahan dan reformasi sistem pendidikan kebangsaan untuk mencerminkan realiti dunia sebenar (4IR) dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi.

4IR dan transformasi digital adalah perubahan global yang tidak dapat dielakkan dan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya sekarang juga, berlandaskan wawasan Malaysia 5.0, supaya tidak ketinggalan zaman.

* Dr Rais Hussin ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research. Beliau juga merupakan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)