Lockdown? Dengar suara rakyat!

A
A
A

DALAM beberapa hari ini, penulis merasakan perbahasan nasional dalam kalangan rakyat lebih tertumpu kepada sama ada negara memerlukan penutupan penuh atau total lockdown seluruh negara bagi menguatkan usaha melandaikan lekuk kes Covid-19.

Ada yang bersetuju dan ada yang membantah. Masing-masing berhak mempunyai pandangan sendiri dan selaku pemimpin masyarakat dan penggubal dasar, pandangan mereka harus didengari dan dimasukkan ke dalam proses membuat keputusan negara.

Dalam pada soal lockdown ini, jelas bahawa wujud dua kelompok besar dalam penentuan sama ada Malaysia memerlukan ia atau tidak. Bagi pendukung lockdown, penutupan penuh bermakna Covid-19 tidak berpeluang tersebar kerana semua orang duduk di rumah.

Namun, lockdown ini tidak bermakna kerajaan boleh dengan mudah menutup negara. Perlu ada jaminan bahawa mereka boleh menjalani kehidupan dengan tenang sehingga ia tamat. Ini termasuklah akses kepada maklumat, jaminan tunai, pekerjaan, utiliti dan pendidikan anak-anak serta makanan.

Selain itu, sektor-sektor ekonomi juga akan dihentikan sementara kerana sudah diakui sendiri kerajaan bahawa ada antaranya menyumbang kepada kluster-kluster penyebaran wabak ini. Secara mudahnya, selamatkan nyawa rakyat dahulu, dan baru cerita yang lain.

Mereka yang menolak lockdown beranggapan bahawa ia bakal memusnahkan terus usaha pemulihan ekonomi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimana pula dengan nasib peniaga yang terpaksa bergantung kepada hasil jualan harian mereka? Sudah pasti lockdown akan memutuskan sumber pendapatan mereka. Sekiranya mereka adalah ketua keluarga, sudah tentu kesannya akan menyentuh pada ahli-ahli keluarga lain yang bergantung harap, seperti anak kecil.

Itu belum lagi kesan kepada eksport negara yang terpaksa bergantung kepada sektor pembuatan disebabkan sektor-sektor lain terjejas teruk khususnya sektor perkhidmatan yang menyumbang kepada lebih 56 peratus daripada struktur ekonomi negara. Bagi kelompok ini, ekonomi yang lemah lebih memudaratkan semua.

Artikel Berkaitan:

Oleh itun, pihak kerajaan harus mengambil kira kesemua hujahan ini dan suara rakyat di bawah sebelum membuat sebarang keputusan besar untuk negara. Amatlah penting untuk pihak kerajaan menghargai setiap pandangan dan kritikan rakyat.

Ini juga selari dengan nasihat Almarhum Tun Abdul Razak dalam satu ucapan beliau bertarikh 18 November 1964 yang berbunyi: “Adalah penting bagi sebuah masyarakat yang demokratik untuk mempunyai sebuah kerajaan yang terbuka dengan pandangan dan perasaan umum. Mana-mana kerajaan tidak akan diterima, sekiranya ia tidak lagi mewakili jiwa dan minda rakyatnya.”

Kegagalan mendengar suara dan denyut nadi rakyat hanya akan menzahirkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan meningkatkan risiko kerajaan membuat keputusan yang khilaf. Kutip dan dengari suara mereka dengan ikhlas. Ingatlah bahawa era Government knows best sudah lama tamat.

Penulis juga memberi jaminan bahawa suara-suara rakyat yang dikumpulkan oleh Pemuda UMNO akan disampaikan kepada para menteri UMNO untuk dibawa ke Kabinet.

Kemudian, keputusan yang dibuat haruslah dilaksanakan dengan tegas dan tidak flip flop sehingga membuatkan rakyat, peniaga dan pelabur keliru.

Kegusaran rakyat kini mengenai cadangan lockdown wujud disebabkan mesej yang tidak koheren daripada kerajaan. Sekejap kata ya, sekejap kata tidak. Jika kerajaan dari awal bersikap tegas, sudah pasti lockdown boleh dilaksanakan dengan mudah kerana rakyat yakin dan selesa.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia