Tak perlu kongsi kisah peribadi di media sosial

Penggunaan Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya kepada masyarakat semakin meluas dan fungsinya yang pelbagai turut memberi kelebihan untuk sesiapa sahaja menyebarkan maklumat atau berkongsi tentang kehidupan seharian.
Penggunaan Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya kepada masyarakat semakin meluas dan fungsinya yang pelbagai turut memberi kelebihan untuk sesiapa sahaja menyebarkan maklumat atau berkongsi tentang kehidupan seharian.
A
A
A

PENGARUH media sosial kepada masyarakat dalam dunia moden hari ini tidak dapat dinafikan, malah dilihat antara medium komunikasi penting dalam kehidupan seharian.

Penggunaan Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya kepada masyarakat semakin meluas dan fungsinya yang pelbagai turut memberi kelebihan untuk sesiapa sahaja menyebarkan maklumat atau berkongsi tentang kehidupan seharian.

Media sosial jika digunakan dengan cara yang betul akan memberikan banyak manfaat kepada semua orang dan menjadi sebaliknya apabila disalahgunakan.

Apatah lagi, jika ia melibatkan pengguna yang dikenali ramai iaitu artis dan selebriti. Apa sahaja yang dikongsi kepada umum menerusi medium itu pasti akan mudah tersebar dan memberikan kesan sama ada positif mahupun negatif.

Sama ada soal kerja atau bersifat peribadi, ia tetap menjadi perhatian serta tatapan ribuan atau mungkin jutaan manusia yang dapat mencapai media sosial tersebut.

Jadi mereka seharusnya lebih bijak menggunakan media sosial untuk tujuan yang lebih memberi manfaat kepada diri sendiri dan pengikut mereka yang mengikuti laman sosial tersebut.

Pada masa yang sama, mereka harus lebih peka dan bertanggungjawab terhadap apa sahaja perkongsian.

Meskipun ia adalah akaun peribadi, namun kenyataan yang tidak harus mereka ketepikan adalah pengaruh yang dimiliki sebagai orang dikenali dalam masyarakat sangat besar.

Artikel Berkaitan:

Sentiasalah beringat dalam setiap tindakan kerana perkara yang dianggap remeh itu kadangkala mampu menjadi isu besar yang tidak terjangka kerana sekecil mana pun apa yang dikongsikan di laman sosial tetap akan mengundang perhatian orang ramai.

Kongsi

Namun, sejak akhir-akhir ini kita lihat semakin ramai artis atau selebriti lupa pada hakikat itu dan kerap menggunakan media sosial untuk berkongsi sesuatu yang tidak sepatutnya, selain menjadikan ia sebagai tempat meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pihak lain.

Akhirnya, mereka terjebak dengan pelbagai kontroversi dan kecaman akibat kelemahan diri sendiri, selain ketidakupayaan mengendalikan media sosial dengan cara positif.

Lihat sahaja beberapa artis yang terlibat dalam pertelingkahan di media sosial berhubung beberapa isu berkaitan penggiat seni ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Pertelingkahan di media sosial itu menjadi bualan hangat warga maya, apatah lagi apabila ia berpanjangan sehingga dibawa ke mahkamah.

Begitu juga dengan kecenderungan artis dan selebriti yang gemar berkongsi kisah peribadi secara terbuka di media sosial sehingga tercetus pelbagai konflik melibatkan banyak pihak lain.

Apabila ia menarik perhatian netizen dan mengundang kecaman, mereka mula menuding jari menyalahkan pihak lain yang dikatakan menceroboh ruang privasi mereka.

Sebenarnya masing-masing sepatutnya tahu risiko yang bakal didepani akibat sikap keterbukaan di media sosial.

Banyak kejadian dan keadaan yang boleh dijadikan contoh serta teladan. Namun, disebabkan keghairahan kepada pengaruh media sosial, mereka sering terlupa status sebagai artis dan selebriti yang dikenali ramai.

Jumlah pengikut masing-masing yang ramai di media sosial harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menyebarkan mesej-mesej yang positif terutama dalam situasi pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara.

Media sosial sepatutnya menjadi medium terbaik untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan berkongsi perkara-perkara yang boleh memberi manfaat bersama.

Misalnya, apa yang dilakukan oleh penyanyi dan pengacara, Alif Satar yang banyak melakukan perkongsian positif bersama pengikutanya menerusi media sosial.

Begitu juga beberapa artis lain yang sama-sama memberikan inspirasi kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti di media sosial.

Meskipun ia nampak seperti usaha kecil, namun sebenarnya ia adalah langkah awal yang bakal membawa kepada sesuatu yang lebih baik kepada generasi akan datang.

*Wawann Mohd ialah wartawan hiburan Sinar Harian