X

Kindly register in order to view this article
!

AGC bantah permohonan Muda cabar tindakan RoS

Laporan Sinar Harian pada 7 Januari lalu mengenai permohonan Muda untuk menubuhkan sebuah parti politik ditolak oleh RoS.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara pada Isnin membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak permohonan mereka untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali berkata, bantahan itu dibuat atas alasan permohonan tersebut adalah pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Kami berhujah bahawa pemohon tidak merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlebih dahulu sebelum memfailkan semakan kehakiman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dan Muda mempunyai tempoh 30 hari dari 6 Januari untuk mengemukakan rayuannya.

"Mahkamah menetapkan 4 Februari ini untuk keputusan mengenai permohonan bagi semakan kehakiman itu,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pendengaran permohonan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.

Syed Saddiq yang juga pengasas Muda serta 12 individu selaku pemohon diwakili peguam Tan Sri Tommy Thomas, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet.

Sementara itu, peguam yang mewakili Muda menghujahkan bahawa mereka tidak membuat rayuan kepada menteri berkenaan disebabkan menteri itu, menerusi beberapa kenyataannya, sudah mempunyai prasangka sendiri berhubung permohonan pendaftaran parti tersebut.

“Justeru, kami berpendapat tidak ada gunanya untuk membuat rayuan kepada beliau. Tambahan pula, tidak ada halangan untuk mahkamah menimbang perkara ini pada peringkat berasingan yang lebih bebas," kata mereka dalam kenyataan.

Pada 12 Januari lalu, mereka telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta memohon perintah untuk membatalkan keputusan RoS yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman, berkata pihaknya menerima surat daripada RoS pada 6 Januari lalu yang menyatakan bahawa permohonan Muda tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966 dan permohonan ditolak mengikut Seksyen 7 (3) (e) Akta Pertubuhan 1966.

“Terdapat kelalaian daripada pihak RoS untuk menjelaskan secara terperinci perenggan kecil atau peruntukan mana di bawah Jadual Pertama yang tidak dipatuhi oleh Muda. Penaja-penaja Muda tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya.

“Muda telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966. Oleh itu, tidak ada asas untuk menolak permohonan pendaftaran Muda,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Hamzah letak syarat jika mahu Muda diluluskan'

RoS tolak permohonan MUDA


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!