'Hamzah letak syarat jika mahu Muda diluluskan'

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ‘memujuknya’ supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mahu pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diluluskan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan, perkara itu berlaku semasa sesi perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, beliau membincangkan perkara itu dengan Hamzah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berada bawah bidang kuasa Ahli Parlimen Larut itu.

“Beliau memberitahu, sebagai ahli Parlimen, saya tidak pernah menyokong Rang Undang-undang (RUU) kerajaan,” kata seperti dilaporkan portal berita Free Malaysia Today pada Ahad.

Menurut laporan itu, pendedahan itu dibuat Syed Saddiq dalam satu afidavit mengejutkan yang difailkan di mahkamah bagi menyokong permohonan semakan kehakiman berhubung keengganan RoS mendaftarkan Muda.

Syed Saddiq mendakwa, Hamzah menyarankannya untuk tidak menghadiri sesi Dewan Rakyat ketika proses pengundian dijalankan kerana beliau tidak menyokong RUU yang dibuat.

“Saya terperanjat dan memberitahu saya tidak boleh melepaskan tanggungjawab saya sebagai ahli Parlimen dan akan selalu mengundi mengikut hati nurani dan kepentingan konstituen saya,” katanya.

Dakwa Syed Saddiq lagi, beliau bertemu Hamzah di pejabatnya di bangunan Parlimen pada 3 November lalu sekitar jam 10.45 pagi untuk membincangkan mengenai pendaftaran Muda.

Artikel Berkaitan:

“Hamzah memberitahu bahawa laluan rasmi untuk pendaftaran melalui RoS tidak mencukupi dan saya perlu menulis terus kepada menteri.

“Saya menyerahkan surat kepada Hamzah pada hari sama dengan memberikan latar belakang perkara tersebut dan meminta bantuan untuk mempercepatkan pendaftaran Muda.

“Pada 10 November lalu, setiausaha politik menteri itu memaklumkan bahawa surat bertarikh 3 November itu sudah dihantar kepada RoS dengan nota supaya jabatan berkenaan mengambil perhatian kepada perkara itu,” katanya.

Katanya lagi, pada 13 Disember lalu, beliau sekali lagi berkomunikasi dengan Hamzah mengenai status pendaftaran partinya.

“Tetapi Hamzah memberitahu yang beliau perlu memberikan komitmen (commit myself) kepada Perdana Menteri dan sekali lagi mengingatkan bahawa saya selama ini mengundi menentang kerajaan di Parlimen,” katanya.

Awal bulan ini, seramai 13 penaja Muda yang diketuai Syed Saddiq memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan RoS dan menteri menolak pendaftaran parti itu.

Mereka juga mahu memaksa RoS mendaftarkan Muda sebagai parti politik dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.