United makin garang

Pemain United meraikan jaringan Rashford ketika menentang Liverpool dalam aksi Piala FA awal pagi Isnin.
Pemain United meraikan jaringan Rashford ketika menentang Liverpool dalam aksi Piala FA awal pagi Isnin.
A
A
A

MANCHESTER United kini boleh dikatakan sudah kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni selepas mempamerkan persembahan cemerlang menundukkan Liverpool 3-2 dalam aksi pusingan keempat Piala FA di Old Trafford awal pagi Isnin.

Perkara itu diakui pengendalinya, Ole Gunnar Solskjaer yang menyifatkan skuad kendaliannya itu sudah menemui rentak dengan meraih keputusan positif dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

"Kami telah menemui rentak, pemain juga sudah mempunyai semangat dan moral yang tinggi selain persembahan kami bertambah baik daripada semasa ke semasa.

"Kemenangan ke atas Liverpool juga sangat hebat kerana bukan mudah untuk menang dengan juara liga tahun lalu itu-mereka sebuah pasukan yang sangat bagus. Daripada satu peringkat ke satu peringkat kami bertambah bagus, malah berjaya menang perlawanan yang sukar," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Mohamed Salah membuka tirai jaringan terlebih dahulu buat pasukan pelawat pada minit ke-18 sebelum disamakan Mason Greenword pada minit ke-28.

Penyerang United, Marcus Rashford meletakkan United kembali di hadapan sebelum sekali lagi disamakan Mohamed Salah. Namun, Bruno Fernandes menjadi wira buat United apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-78.

Untuk rekod, United hanya tewas sekali daripada 13 perlawanan terakhir mereka-rekod terbaik sejak Solskjaer menjadi pengendali pasukan itu pada tahun 2018.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, Solskjaer berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan pemainnya walaupun terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Salah.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ketinggalan satu gol, tindak balas setiap orang adalah amat baik. Kami bermain dengan baik, gol yang bagus.Kami perlu bertahan dengan baik menentang mereka dan kami juga bertindak balas dengan baik," katanya.