Manchester United minat dapatkan Mane

Sadio Mane - Foto Agensi
Sadio Mane - Foto Agensi
A
A
A

MANCHESTER United dilaporkan berminat untuk menandatangani Sadio Mane pada musim panas ini, namun bakal mendapat persaingan daripada Newcastle.

Bekas pemain sayap Liverpool itu dijangka meninggalkan Bayern Munich selepas hanya semusim bersama gergasi Bundesliga itu.

Bayern dilaporkan mahu melepaskan Mane susulan masalah yang ditimbulkan pemain itu, dakwa Sky Sports di Jerman.

Pemain antarabangsa Senegal itu menumbuk rakan sepasukan Leroy Sane selepas tamat aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester City dan dia digantung satu perlawanan serta denda 250,000 pound (RM1.41 juta).

Mane sepatutnya mendapat bayaran 17.4 juta pound (RM98.20 juta) setahun, bermakna tidak banyak kelab mampu memilikinya.

Bagaimanapun bukan halangan kepada United yang mahu menambah bisa di bahagian serangan Red Devils.

Sebelum menyertai Liverpool pada 2016, pemain berusia 31 tahun itu pernah meluahkan hasrat untuk berhijrah ke Old Trafford dan minat itu membuka peluang kepadanya kembali beraksi di England.

Dalam pada itu, Newcastle turut mengintai kelibat Mane ketika pengurusnya, Eddie Howe mahu memiliki lebih banyak pilihan di bahagian serangan dengan tiket Liga Juara-Juara semakin hampir dalam genggaman.

Chelsea juga dilaporkan memantau situasi Mane tetapi mereka sudah pun memiliki beberapa pemain sayap, manakala kepulangan ke Anfield tidak mungkin berlaku selepas Jurgen Klopp menandatangani Cody Gakpo dan Darwin Nunez selepas perpindahannya.

Di luar kancah Liga Perdana Inggeris, Mane mungkin boleh menyertai Barcelona tetapi perlu berdepan pemotongan gaji susulan masalah kewangan dihadapi juara La Liga itu.

Kelab dari Arab Saudi antara destinasi baharu boleh dituju Mane ketika mereka mahu menambah lebih ramai pemain berprofil tinggi di liga mereka.