X

Kindly register in order to view this article
!

Istana Sepachendera dibina daripada madu, putih telur

Istana Sepachendera
A
A

ALOR SETAR - Yayasan Tunku Kassim menyokong usaha memulihara istana lama di Kedah termasuk Istana Sepachendera di Jalan Kampung Baru di sini untuk kesinambungan sejarah dan tatapan generasi akan datang.

Pengasasnya, Tunku Mansor Tunku Kassim berkata, istana lama berkenaan memiliki nilai sejarah tinggi yang wajar dipertahankan untuk generasi akan datang.

Beliau yang merupakan cucunda kepada Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah berkata, bangunan istana yang memiliki keunikan tersendiri dari segi ukiran dan reka bentuk berkenaan pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kassim.

"Istana lama ini adalah istana pertama Almarhum Sultan Abdul Hamid di Alor Setar yang dibina khas untuk isteri, Che Sepachendera pada tahun 1882 menggunakan sejumlah manisan lebah dan putih telur.

"Jadi, usaha memulihara bangunan sejarah seperti istana lama berkenaan penting untuk kesinambungan sejarah, sekali gus membolehkan rakyat mengenali identiti dan generasi pelapis peka dengan sejarah," katanya ketika ditemui semasa kunjungan bertemu Wan Iskandar Zulkarnain iaitu waris kepada tokoh sejarawan Kedah, Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff di Anjung Warisan Pak Wan di sini pada Sabtu.

Tunku Mansor (kiri) melihat artikel ditunjukkan Wan Iskandar Zulkarnain berkaitan Istana Sepachendra di Anjung Warisan Pak Wan, Alor Setar pada Sabtu.
Tunku Mansor (kiri) melihat artikel ditunjukkan Wan Iskandar Zulkarnain berkaitan Istana Sepachendra di Anjung Warisan Pak Wan, Alor Setar pada Sabtu.

Selain itu, Tunku Mansor berkata, istana lama seperti Istana Sepachendera merupakan aset sejarah bernilai, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri ini apabila usaha memulihara dilakukan.

Sementara itu, Wan Iskandar Zulkarnain berkata, Allahyarham bapanya yang amat mencintai sejarah berharap beberapa aset sejarah Kedah dapat terus dipertahankan, selain berhasrat ada pihak yang meneruskan impiannya.

"Ketika arwah masih ada, dia sering menceritakan sejarah di Kedah dan hasrat untuk terus mempertahankan warisan sejarah termasuk Istana Sepachendera dan Terusan Wan Mat Saman," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai istana lama di Kedah iaitu Istana Sepachendera dan Istana Tunku Kudin yang wajar dipulihara untuk kesinambungan sejarah dan tatapan generasi akan datang agar tidak tenggelam arus pembangunan.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, pemuliharaan Istana Sepachendera yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar sedang diusahakan kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!