Subkontraktor TNB ditahan curi kabel elektrik

Shamsudin (kanan) menunjukkan kabel elektrik yang disyaki dicuri suspek sebelum diproses pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada Ahad.
Shamsudin (kanan) menunjukkan kabel elektrik yang disyaki dicuri suspek sebelum diproses pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada Ahad.
A
A
A

BALING- Polis mematahkan kegiatan curi kabel elektrik dianggarkan bernilai RM30,000 membabitkan subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam serbuan di sebuah bangsal dekat Charuk Nau pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian itu, empat lelaki ditahan termasuk seorang subkontraktor berusia 59 tahun yang mempunyai lesen menjalankan pengendalian kabel TNB bersama tiga pekerja termasuk seorang rakyat tempatan dan dua warga asing berusia antara 21 dan 39 tahun.

Beliau berkata, serbuan yang dijalankan bersama polis bantuan TNB di bangsal terbabit menemui sebanyak 87 batang wayar kabel elektrik warna kelabu yang telah dipotong sepanjang 70 sentimeter, 24 batang wayar kabel warna hitam yang dipotong sepanjang 70 sentimeter, mesin pemotong, beberapa gulungan tembaga, beberapa bilah pisau, penukul besi, pemutar skru, besi pencungkil tayar motor, parang dan wayar plak soket.

"Turut dirampas, sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk tujuan curi kabel terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada Ahad.

Shamsudin berkata, polis percaya suspek yang merupakan pemegang lesen subkontraktor TNB mengambil kesempatan melakukan kegiatan curi kabel bagi mengaut keuntungan.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semakan lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan membabitkan dadah.

"Dengan tertumpasnya keempat-empat suspek, polis bukan sahaja berjaya menyelesaikan kes kecurian kabel di daerah Baling yang dipercayai dilakukan kumpulan ini, malah memberi mesej kepada orang awam bahawa menyimpan atau memiliki kabel yang dicuri adalah satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Melalui rekod sepanjang tahun 2020, sebanyak 27 laporan polis berhubung kehilangan kabel elektrik dilaporkan di daerah Baling membabitkan kerugian RM70,000," katanya.

Beliau berkata, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas memandangkan perbuatan itu adalah satu kesalahan serius dan telah menjejaskan perkhidmatan TNB untuk rakyat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memotong atau merosakkan kabel yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kesemua yang ditahan direman sehingga 26 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya.