Lagi kerosakan hutan dikesan, giliran Pantai Teluk Akuan

Rakaman dron dibuat Kuasa di HSK Segari Melintang. - Foto FB Otai Manjung
Rakaman dron dibuat Kuasa di HSK Segari Melintang. - Foto FB Otai Manjung
A
A
A

IPOH - Kesan kemusnahan alam sekitar di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang di Manjung dikatakan semakin serius apabila sudah merebak ke Pantai Teluk Akuan berhampiran Sungai Batu, Segari.

Pendedahan terbaharu dibuat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mendapati, pantai yang menjadi salah satu pendaratan penyu dan persinggahan nelayan itu tercemar dengan tanah merah dipercayai kesan pembangunan kuari.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Ismady Radzuan berkata, menerusi rakaman dron, keadaan pesisiran pantai itu sudah berubah keruh dan pesisirannya dikelilingi tanah merah.

Menurutnya, dalam video yang diambil kelihatan aliran air anak sungai berhampiran sudah bercampur dengan tanah merah dan mengalir masuk ke kawasan laut.

Ismady menunjukkan laluan anak sungai Teluk Akuan yang terjejas menyebabkan airnya keruh kesan campuran tanah merah. - Foto FB Otai Manjung
Ismady menunjukkan laluan anak sungai Teluk Akuan yang terjejas menyebabkan airnya keruh kesan campuran tanah merah. - Foto FB Otai Manjung

"Kami ikut laluan anak sungai ini dan mendapati ada hakisan tanah merah berlaku memenuhi sebahagian hutan simpan manakala di beberapa kawasan pula terdapat pokok-pokok mati kesan timbunan tanah merah berkenaan.

"Tanah merah ini kemudiannya memenuhi kawasan pantai yang mengakibatkan kawasan pantai seolah diliputi tanah merah. Puncanya berkemungkinan besar daripada aktiviti hutan di kompartment berhampiran," katanya dalam mesej yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu.

Pendedahan itu turut dikongsi beliau dalam Facebook Otai Manjung selepas lebih seminggu isu kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu, Segari dibuat.

Artikel Berkaitan:

Ismady berkata, kerosakan yang berlaku di pantai itu telah memberi kesan langsung kepada keindahan semula jadi di kawasan itu serta kehidupan marin di pantai berkenaan.

Keadaan di sebahagian kawasan HSK Segari Melintang yang dipenuhi tanah merah yang menjadi punca Pantai Teluk Akuan terjejas. - Foto FB Otai Manjung
Keadaan di sebahagian kawasan HSK Segari Melintang yang dipenuhi tanah merah yang menjadi punca Pantai Teluk Akuan terjejas. - Foto FB Otai Manjung

Katanya, meskipun kawasan pantai itu tidak begitu dikenali, namun ia tetap memainkan peranan penting kepada nelayan yang menjadikannya sebagai kawasan persinggahan untuk berlindung dari ribut dan tempat bekalan air bersih dari kawasan air terjun.

"Nelayan memaklumkan penyu masih mendarat di sini, malah ia juga merupakan pantai riadah penduduk terutamanya keluarga nelayan yang turun ke laut.

"Jadi kita harap, masalah ini dapat ditangani sebaiknya oleh semua pihak, sama seperti tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam isu Air Terjun Tanjung Batu," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pihaknya maklum akan perkara itu dan sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan lanjut di lokasi disebutkan.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul ketika dihubungi mengesahkan sudah menghantar sepasukan pegawai ke lapangan selepas dimaklumkan pada pagi Ahad.

"Siasatan bersepadu membabitkan JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains Perak serta Pegawai Pejabat Exco negeri akan ke lapangan bagi menjalankan siasatan," katanya.

Keadaan persisir Pantai Teluk Akuan yang dicemari tanah merah. - Foto FB Otai Manjung
Keadaan persisir Pantai Teluk Akuan yang dicemari tanah merah. - Foto FB Otai Manjung