Keindahan sastera dalam al-Quran

Sastera al-Quran telah dikaji manusia sepanjang zaman.
Sastera al-Quran telah dikaji manusia sepanjang zaman.
A
A
A

AL-QURAN adalah mukjizat yang paling agung sepanjang sejarah manusia. Ditanzilkan di tengah-tengah masyarakat yang sedang menghargai sastera, dan kemudiannya mampu mengubah jalur sastera sesuatu bangsa itu, menjadi akliah dan rasional.

Sebagai kitab suci umat Islam, al-Quran mengajar manusia ke arah akidah yang benar dan akhlak yang tinggi, bagi membentuk hamba yang taabudi kepada Khaliqnya, dan menjalin hubungan ukhuwah sesama Muslim.

Orang Arab yang berbudaya dengan keghairahan sasteranya, tercermin dalam genre syair, pidato, kisah dan amsal. Masyarakatnya yang terkurung antara empayar Roma dan Parsi, dihimpit oleh batu-batu pejal gondol dan gurun, terdesak oleh kemiskinan air, menjadikan mereka kaum yang fanatik dan gemar berperang; tetapi aneh, mereka sangat mencintai dunia sastera.

Segalanya berindukkan sastera. Peperangan pun ditentukan oleh sasterawannya. Setiap tahun mereka merayakan pesta sastera, sebagai hari kebesaran di Ukaz, Majinnah dan Zul Majaz. Ketinggian sasteranya diakui oleh kawan dan lawan. Namun, apabila datangnya al-Quran, mereka sangat terpesona dan hairan dengan ketinggian seni sasteranya.

Keajaiban al-Quran terletak pada genrenya tersendiri. Tidak terstruktur sebagai syair, tetapi seperti puisi, dan bukan prosa, tetapi aromanya prosa. Di dalamnya terkandung ayat-ayat muhkamah, iaitu hukum-hukum, dan banyak sekali cerita dan amsal. Genre baru al-Quran itu melemahkan dan melumpuhkan kekuatan sastera Jahiliyah. Malah, kepercayaan Jahiliyah yang ditakluki oleh 360 buah berhala di keliling Kaabah, telah goyang oleh keindahan al-Quran.

Pembesar Quraisy

Bagaimanapun, sifat kedegilan pembesar Quraisy, telah bersepakat untuk menentang al-Quran demi kedudukan dan menjaga status quo. Mereka menuduh al-Quran sebagai mantera kahin, dan Nabi Muhammad SAW adalah penyair gaya baru.

Namun, mereka tidak dapat menyembunyikan keasyikan dan kerinduan mereka terhadap bacaan al-Quran. Secara senyap-senyap, mereka menyusup masuk ke majlis dakwah Junjungan, untuk mendengar suara lunak tilawah al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Begitulah surah-surah wahyu Ilahi itu, disanjung aspek sasteranya. Al-Walid Ibnu al-Mughirah, pemimpin Quraisy, pengkritik dan penguasa sastera paling tersohor dewasa itu, mengatakan bahawa tiada siapa yang dapat mengatasi al-Quran, dan al-Quran bukanlah ciptaan manusia biasa.

Atabah Ibnu Rubiah pula berkata, “Dengan nama Allah aku tidak pernah mendengar ucapan sedemikian dahulu, ia bukanlah syair atau sihir atau mantera”.

Ramai sasterawan terkemuka, seperti Hassan Ibnu Thabit, Kaab Ibnu Malik dan Abdullah Ibnu Rawahah, mendengar kali pertama akan al-Quran mereka tersentak, dan akhirnya memeluk Islam. Demikianlah juga halnya dengan Saidina Umar al-Khattab RA.

Menghairankan

Sastera al-Quran telah dikaji dan diselidiki pada sepanjang zaman. Pelbagai hasilan dan dapatan yang diketemukan, dan diperturunkan kaedah dan prinsipnya oleh para penteori sastera. Pertamanya pada uslubnya, dengan lafaz atau diksinya yang betul, tepat, sesuai dan jelas mengikut mauduknya. Ayat-ayatnya tersusun dengan fasih, murni, kukuh dan mempesona sehingga mempengaruhi rasa dan fikiran khalayak.

Kedua, cara penyampaiannya dikemukakan dengan bersistem dan teratur, supaya mubalaghahnya indah. Menggunakan pelbagai teknik, seperti istiarah (metafora) tasybih (simile) dan majaz (figuratif). Istiarah memiliki tiga dimensi iaitu tasyrikhiyah, asliyah dan tabaiyah; iaitu yang menyerupai, asli dan konvensional. Dengan itu terhasillah makna atau semantik, yang selapis atau berlapis, bukan sahaja indah juga baik, jujur dan selari dengan paksi Islami.

Ketiga, pada aspek fasahah dan balaghah. Fasahah merujuk kepada kalimah yang sahih, tanbih, hasan dan matin; juga sesuai dengan situasi (mak’ud), berpengaruh (maksur) dan mempesonakan (masrur). Balaghahnya menggunakan pelbagai unsur seperti ibarat, riwayat dan silsilah. Sama ada ungkapannya pendek atau panjang, ia mempunyai unsur yang mengagumkan.

Keempat, estetika seni sastera al-Quran, kekuatannya pada menjelaskan aspek kebenaran. Jalinan sastera yang indah dengan bahasa yang kukuh, membolehkan kebenaran yang hendak dikemukakan bertakhta di jiwa manusia. Istiarah, tasybih dan majaz sebagai jambatan kebenaran, supaya sampai dan berkesan memenuhi tuntutan tabligh al-din syumuli.

Sebagai instinbatnya, keindahan sastera al-Quran menggalakkan para penulis, supaya menggunakan perkataan atau lafaz yang sah atau sahih, sedap didengar, dan tidak buruk baik dari segi bunyi atau wazannya iaitu rentaknya.

Para pengarang Islam zaman-berzaman, telah merujuk al-Quran untuk menjadikannya sebagai contoh, rujukan, bimbingan, dan pedoman bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu. Sebagai contoh, pengarang-pengarang zaman Umaiyah, Abasiyah dan Andalus mengaplikasikan keindahan dan penstrukturan al-Quran. Abasiyah mencatat 44 pengarang ternama, dan 12 orang yang unggul, antaranya Fardausi, Rumi, Sa’adi, Nizami, Jami, Anwari, Hafiz, Attar, Abi Hanifah, Ibnu al-Muqaffa, Basyar dan Abu Nawas.

Penyair Attar menghasilkan Mantiq al-Taiyir, sebuah alegori pencarian spiritual, dalam pengembaraan suci melalui 4,600 puisi. Attar dikagumi pada kekuatannya istiarah, ibrah dan iradahnya. Nizami menulis Laila wa Majnun menceritakan percintaan yang tergalang oleh darjat kekeluargaan, sehingga keduanya terpisah bertahun-tahun di kesunyian gurun. Nizami tersohor sebagai penulis prosa, yang tinggi imaginatif dan istimewa naratifnya.

Dalam sastera Melayu, genre syair, hikayat, sastera kitab dan sastera kanun adalah sumbangan tradisi sastera al-Quran. Malah sastera modennya, iaitu novel, cerpen dan drama; meski leluhurnya daripada struktur Barat, tetapi muatan awalnya bersumberkan keislaman.

Begitulah keindahan al-Quran, sebuah kitab suci, yang dianugerahi Allah, yang kaya dengan unsur-unsur seni yang selari dengan fitrah manusia.

Nukilan ini setitik daripada gedung lautan al-Quran yang maha luas itu, bagi menunjukkan betapa beruntungnya seseorang pengarang dan juga dunia sastera, yang mendapat sentuhan dan hidayah daripada mukjizat kalamuAllah yang Qadim itu.