Inovasi al-Quran bantu masyarakat baca, hafal dengan mudah

Khairul Naim, Muhammad Toha, Mohd Hasrul, Amiro Safwan
Khairul Naim, Muhammad Toha, Mohd Hasrul, Amiro Safwan
A
A
A

SHAH ALAM - Inovasi diterapkan dalam tiga al-Quran terbitan terbaharu Karya Bestari membantu masyarakat membaca dan menghafal al-Quran lebih mudah.

Terbitan berkenaan merangkumi al-Quran Tahfiz, al-Quran Tahfiz Junior dan Al-Multazam B4.

Editor Karya Bestari, Khairul Naim Mansor berkata, inovasi ditonjolkan melalui visual dalam al-Quran Tahfiz amat membantu pembaca.

“Secara teknikalnya ia dapat membantu menghafal dengan cara mudah kerana terdapat blok warna di beberapa baris ayat di samping kata kunci dan kaedah dicadangkan oleh pakar dalam bidang al-Quran,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Editor Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Amiro Safwan Mohd Kamil pula berkata, al-Quran Tahfiz Junior sesuai digunakan untuk semua peringkat umur juga membantu hafalan.

“Ramai orang yang mengalami masalah untuk menghafal surah kerana mungkin terlalu panjang dan sebagainya, tetapi al-Quran Tahfiz Junior ini menggunakan pendekatan mudah untuk menghafal setiap baris ayat dengan menggunakan lima warna blok berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi Editor Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Muhammad Toha Mohd Haidar berkata, al-Quran Multazam B4 sesuai untuk mereka yang baru mempelajari kitab suci tersebut.

“Semua golongan boleh membaca dan menggunakan kitab ini lebih-lebih lagi jika menghadiri pengajian kerana al-Quran Multazam terdapat nota kaki sebagai rujukan dan terjemahan yang lengkap,” katanya.

Sementara itu, Karya Bestari turut menerbitkan buku Belajar Menulis Mushaf Al-Quran yang mampu membantu kemahiran menulis bagi mereka yang mahu mula mempelajarinya.

Editor Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Mohd Hasrul Wahab berkata, buku berkenaan menggalakkan pengguna lebih aktif mempelajari kemahiran menulis, tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak.